fbpx

Halangan dan kejayaan perang melawan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BARU-BARU ini, timbul beberapa berita dukacita tentang Covid-19. Gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer mengumumkan kemungkinan dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech diperlukan bagi memberikan perlindungan ‘lengkap’ terhadap jangkitan koronavirus.

Pfizer juga tidak pasti selama mana vaksinnya dapat memberikan kekebalan terhadap penyakit itu.

Pfizer juga berkata, dos tambahan mungkin diperlukan dari tahun ke tahun bergantung kepada situasi pandemik.

Menurut farmaseutikal itu, ia mungkin tidak dapat dielakkan kerana virus Covid-19 cepat bermutasi termasuk kemunculan mutasi berganda baru-baru ini.

Jika ramalan itu benar, kerajaan di seluruh dunia perlu berbelanja besar bagi membeli vaksin yang ‘dikemas kini’ dan syarikat farmaseutikal pula akan menjadi antara entiti perniagaan menguntungkan di dunia.

Perkara mendukacitakan kedua adalah Covid-19 kini menyebabkan gejala lebih serius terhadap golongan lebih muda termasuk belia dan kanak-kanak.

Seorang doktor di India memberitahu, bilangan remaja dan kanak-kanak yang mendapat rawatan hospital semasa gelombang pertama Covid-19 melanda tahun lalu amat kecil, namun bilangan mereka bertambah ketika gelombang kedua. Ini menunjukkan Covid-19 mempunyai keupayaan bermutasi mengikut peredaran masa.

Perkara mendukacitakan ketiga adalah masalah kekurangan bekalan vaksin dan kadar keberkesanan terutama melibatkan pelalian dari China selain dakwaan wujudnya masalah darah beku.

Masalah kekurangan bekalan dan agihan vaksin tidak seimbang masih gagal ditangani oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Sekiranya dibiarkan, usaha untuk memberikan imunisasi Covid-19 kepada penduduk dunia boleh terbantut.

Di sebalik halangan tersebut, beberapa kejayaan turut diraikan dalam perang melawan Covid-19. Antaranya adalah beberapa negara seperti Britain, Israel dan Amerika Syarikat berjaya memberi pelalian kepada sekurang-kurangnya separuh penduduk di negara masing-masing yang menyaksikan jangkitan harian menjunam.

Israel contohnya mencatat puluhan ribu kes baharu koronvirus semasa gelombang pertama menyerang dunia tahun lalu, kini melaporkan kadar jangkitan harian sekitar 200 hingga 400 kes sahaja.

Perkembangan itu menandakan kejayaan usaha vaksinasi yang dilakukan. Selain membendung penularan Covid-19, vaksinasi mampu mengelak gejala serius sekiranya mendapat jangkitan koronavirus.

Selain itu, beberapa farmaseutikal turut memberi tumpuan untuk menghasilkan ubat Covid-19 sebagai kaedah alternatif melawan pandemik.

Sementara itu, amalan dan kepatuhan kepada norma baharu menjadi senjata terbaik untuk melawan pandemik koronavirus. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI