REMBAU – Seorang lelaki berpuas hati apabila hobi mengumpul barang lama ternyata berbaloi sehingga dapat menjana pendapatan lima angka selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang Covid-19 lalu.
Muhammad Balshe Fauzan Abu Samah, 30an, berkata, segalanya bermula apabila perniagaan barangan kulit bapanya, Abu Samah Abdul Ghani, 74, terpaksa ditutup operasi seketika susulan pandemik.
Katanya, ketika itu mereka sekeluarga membekalkan barangan kulit seperti sarung pistol, sarung peluru dan lain-lain lagi kepada pasukan beruniform di seluruh negara.
“Jadi, masa pandemik operasi barang kulit dihentikan seketika dan harga kulit pula naik. Pada masa sama saya suka kumpul barang-barang lama.
“Awalnya hanya satu tin rokok sahaja dan saya mampu menjual dengan harga lebih RM1,000 secara online pada 2022. Kini, pelbagai barangan antik terutama era 60an ke atas boleh didapati dalam koleksi saya,” katanya ketika ditemui di Asaga Galeri di sini.
Menurut Muhammad Balshe Fauzan, dia melihat trend mencari barang-barang lama seperti iklan lama, piring hitam, poster asli, kotak, tin air, serta lain-lain lagi meningkat sejak tahun lalu.
Tambahnya, antara barangan lama bernilai ialah poster Pemburu Bayang, gambar asli P. Ramlee serta Kasma Booty, piring hitam, kaset, katrige asli Air Mata Kuala Lumpur serta tin air keluaran Sudirman.
Malah menurutnya, banyak anak-anak muda kini berminat untuk berniaga serta menghias premis perniagaan mereka dengan barang-barang lama yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“Budak-budak (anak muda) dah mula buka kafe, konsep antik. Semua cari barang-barang antik untuk buat dekor dia punya kedai makan. Macam kotak milo, nescafe yang berharga RM100 ke atas pun memang ada peminat dia.
“Mungkin, anak muda ini tidak sempat menikmati zaman itu tapi nak rasa suasana berkenaan dan mereka hanya boleh membeli kenangan untuk dikongsikan bersama,” katanya.
Menurutnya lagi, barangan lama serta antik yang terdapat dalam koleksinya pula adalah serendah harga RM1 bagi stiker tertentu seperti Sukan Komanwel Malaysia 1998 hingga lah puluhan ribu seperti basikal dan sebagainya.
“Malah, barangan lama koleksi saya juga sudah dipos ke negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya yang juga menyertai pasar karat serta event bagi menjual barang lama.
Dalam pada itu menurutnya, walaupun gemar mengumpul barang lama, dia jarang mengumpul barangan antik seperti senjata, tembaga atau sebelum tahun 60an.














