fbpx

Majikan ugut pistol, pukul didakwa lima pertuduhan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek lelaki yang merupakan majikan kepada dua pengawal peribadi akan didakwa lima pertuduhan esok

SHAH ALAM – Seorang majikan yang memukul dan mengugut dengan pistol terhadap dua pengawal peribadinya sebelum ini akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang dan Kuala Lumpur, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, suspek berusia 44 tahun itu akan didakwa lima pertuduhan kesemuanya selepas mendapat persetujuan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang melibatkan satu pertuduhan masing-masing melibatkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah salah seorang pengawal peribadi.

Selain itu, dibawah Seksyen 298 KK kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan agama yang dianuti dua pengawal peribadi

“Suspek berdepan lagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 109/324 KK kerana bersubahat mengarahkan pembantu peribadinya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan.

“Lelaki tersebut juga akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur bagi satu pertuduhan mengikut Seksyen 323 KK kerana menampar serta menyerang perut salah seorang pengawal peribadi menggunakan lutut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menambah seorang pembantu peribadi kepada majikan itu akan dituduh mengikut Seksyen 324 KK kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan.

Nik Ezzanie menjelaskan dua daripada pekerja majikan yang ditangkap dan direman sebelum ini dilepaskan dengan bon jaminan dibawah Seksyen 118 Kanun Tatatcara Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.

“Manakala, seorang lagi yang dibebaskan tanpa syarat memandangkan tiada sebarang kaitan dengan kejadian serta tiada sebarang keterangan yang boleh kaitkan secara material,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi cedera selepas dirotan dan diugut bunuh menggunakan pistol oleh majikan pada Isnin lalu dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan puasa.

Berikutan kejadian itu, lima lelaki termasuk majikannya berusia 35 hingga 37 tahun ditangkap di sekitar Klang.

Empat daripada mereka direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan majikannya yang merupakan suspek utama direman di IPD Dang Wangi sebelum direman sekali selama lima hari di IPD Klang Selatan.

Polis yang menyiasat kejadian tersebut membongkarkan kegiatan jahat majikan bersama empat rakannya yang dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian haram dan aktiviti ah long.

Dalam serbuan dilakukan polis, menemui sebanyak 100 ketul jongkong emas dengan berat keseluruhan 100 kilogram dan 12,500 keping not kertas AS$100.

Nilai keseluruhan rampasan itu adalah RM28.25 juta. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI