BAU harum aroma daun pandan dapat dihidu sebaik kami tiba di Dewan Seri Raya yang terletak di Taman Tasik Tambahan, Ampang, Selangor.
Sambil langkah dihalakan masuk ke dalam dewan, sorotan mata kami mula liar memerhatikan ratusan dulang kuning berisi kuih tepung pelita yang diletakkan pada puluhan rak besi di situ.
Di bahagian belakang dewan, kelibat beberapa orang wanita dilihat sedang sibuk memasak santan dalam periuk besar, manakala beberapa orang lain ligat mengisi manisan yang telah siap dimasak ke dalam acuan.
Kecur liur kami dibuatnya apabila berpeluang menyaksikan sendiri proses pembuatan kuih tradisional yang begitu popular setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Keunikan rasa yang ada pada tepung pelita menyebabkan ia seringkali menjadi buruan segenap lapisan masyarakat untuk dijadikan sebagai manisan bagi melengkapkan hidangan juadah berbuka puasa mereka.
Seperti diketahui umum, tepung pelita merupakan kuih tradisional yang diletakkan di dalam acuan empat persegi daripada daun pisang.

Terdiri daripada dua lapisan, lapisan bawah yang berwarna hijau diperbuat daripada air daun pandan, tepung dan gula memberi rasa manis, manakala lapisan putih di bahagian atas yang diperbuat daripada santan dan tepung pula mendatangkan rasa masin dan berlemak.
Mempunyai fizikal yang sama seperti kuih tako, menyebabkan ramai yang terkeliru antara dua manisan ini. Begitupun, apa yang membezakan kedua-dua kuih ini adalah kewujudan sengkuang pada lapisan hijau kuih tako.
Mempertaruhkan resipi turun-temurun ibu mertuanya, siapa sangka kuih tepung pelita yang baru diusahakan Abdul Ghani Samsudin, 39, bersama isteri Nor Azlinda Abd. Latif, 34, begitu diminati masyarakat di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan sehingga menjadi ia tular di laman sosial.
Keunikan rasa dan kelembutan tekstur yang ada pada tepung pelita ini menyebabkan orang sanggup beratur panjang di bazar Ramadan.
Ada yang kata, tanpa tepung pelita, tidak lengkaplah Ramadan mereka.
Cita rasa yang asli itu bukan sahaja berjaya mendapat tempat di hati orang ramai, malahan hotel-hotel di sekitar Lembah Klang, apabila Abdul Ghani mula menerima tempahan secara berulang daripada mereka.
“Saya rasa tepung pelita ini biasa sahaja. Tetapi tidak sangka pula kuih yang menggunakan resipi turun-temurun ibu mertua ini mendapat sambutan ramai.
“Mungkin apa yang membuatkan ia istimewa dan menarik minat ramai adalah rasanya yang serba-serbi cukup, tidak terlalu manis mahupun tawar,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai jenama Tepung Pelita Adik B’dik Ampang yang diusahakannya tahun lalu itu, cerita Abdul Ghani lagi, pada mulanya perniagaan tersebut diusahakan bagi menampung pendapatan mereka sekeluarga selepas ‘periuk nasinya’ terjejas akibat pandemik.
Bermula dengan menjual tepung pelita dan kuih-muih lain di sebuah gerai di Taman Permata, Kuala Lumpur, dia kemudian membuka gerai keduanya di Taman Tenaga, Cheras.
Bagaimanapun, melihatkan sambutan yang diterima daripada orang ramai terhadap tepung pelita yang dijual, Abdul Ghani mendapat ilham untuk memfokuskan penjualan hidangan istimewa pada bulan Ramadan itu kepada hari biasa.
“Lazimnya kuih ini hanya ada pada bulan Ramadan, tetapi melihatkan permintaan yang tinggi daripada orang ramai, saya mengambil keputusan untuk menjualnya pada hari biasa.
“Ternyata manisan tradisional ini begitu popular dan diminati ramai apabila beberapa individu mula menawarkan diri untuk menjadi ejen bagi memasarkan tepung pelita di kawasan perumahan masing-masing,” ujarnya.
Resipi turun-temurun yang dipertaruhkan Abdul Ghani berjaya memikat umum apabila bermula daripada sebuah gerai kecil di tepi jalan, dia kini mempunyai premis mengusahakan kuih tepung pelitanya sendiri selain 80 ejen sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Sukar untuk diperoleh selain rasanya yang enak menyebabkan tepung pelita yang dijual Abdul Ghani sering kehabisan dan menerima tempahan yang banyak di bulan Ramadan.
Bagaimanapun, kerana mahukan manisan ini dinikmati oleh semua, Abdul Ghani mengehadkan jumlah tempahan dulang kepada 100 hingga 120 dulang sahaja bagi setiap ejen.
Ini kerana, pihaknya hanya mampu menghasilkan kira-kira 800 dulang tepung pelita sahaja setiap hari dengan menggunakan tenaga kerja seramai 15 orang.
“Ramuan utama bagi menghasilkan kuih ini hanyalah tepung jagung, tepung beras, gula, garam dan santan.
“Bagaimanapun, kunci keenakan tepung pelita terletak pada santan di bahagian atas. Ia tidak boleh terlalu cair bagi mewujudkan rasa lemak dan diseimbangkan dengan rasa manis pandan pada lapisan bawah,” katanya.
Bagi menghasilkan kira-kira 800 dulang tepung pelita setiap hari, sebanyak 280 kilogram (kg) santan diperlukan, selain 300kg tepung dan 250kg gula.
Tatkala beberapa peniaga lain menggunakan plastik sebagai acuan kuih, namun bagi mengekalkan rasa dan bau wangi tepung pelita, Abdul Ghani masih menggunakan kaedah tradisional iaitu acuan yang diperbuat daripada daun pisang.

Begitupun, akui Abdul Ghani, acuan adalah proses yang paling sukar dalam keseluruhan pembuatan tepung pelita. Bukan sahaja daun pisangnya yang sukar untuk diperoleh, proses pembuatannya juga agak renyah dan memakan masa.
“Daun pisang yang digunakan diperoleh daripada masyarakat Orang Asli berdekatan.
“Bagi acuan kuih pula, kami mengupah orang-orang kampung di kawasan sekitar. Bagi satu dulang acuan, kami membayar RM5 sebagai upah yang mana daun pisang dan pengokot turut disediakan.
“Setakat ini kami mempunyai tiga pasukan yang dikhaskan untuk membuat acuan kuih ini. Sekurang-kurangnya dengan cara ini ia boleh membantu mereka menjana pendapatan lebih,” katanya.
Daripada pandangan mata kasar, penghasilan tepung pelita mungkin dilihat mudah kerana ia hanya perlu dimasak atas dapur sebelum dituang ke dalam acuan.
Begitupun, menurut Nor Azlinda, tepung pelita merupakan kuih yang sensitif kerana ia melibatkan santan.
“Dalam menghasilkan kuih ini, perkara yang perlu dijaga ialah santan. Ia perlu sentiasa dikacau kerana jika hangit, biji-biji hitam akan timbul pada permukaan santan.
“Keadaan itu menyebabkan santan terpaksa dibuang kerana dikhuatiri menjejaskan rasa sebenar kuih.
“Untuk setiap periuk besar boleh memuatkan 34kg santan dan mengambil masa kira-kira satu jam untuk dimasak sebelum diletakkan pada acuan kuih.Masa yang diambil sama seperti lapisan bawah yang berwarna hijau.
“Usai siap, lapisan hijau akan diletakkan ke dalam acuan terlebih dahulu dan perlu disejukkan kira-kira 15 minit sebelum lapisan putih pada bahagian atas dicurahkan dan disejukkan sekali lagi sebelum sedia untuk dihidang,” katanya.














