fbpx
Tangkap layar video yang menunjukkan seorang wanita cedera selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan Proton Wira dalam kejadian di Kong Kong, Masai, Johor, Khamis lalu.

Remaja cedera dibelasah pengguna jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG – Seorang remaja lelaki cedera dibelasah oleh beberapa pengguna jalan raya selepas dia menyebabkan penunggang motosikal wanita cedera parah dalam kejadian di Jalan Taman Cendana-Masai, Kong Kong di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, remaja berusia 18 tahun terbabit dipukul sehingga mengalami kecederaan di kepala, muka, kaki sebelah kanan, patah hidung, patah jari manis dan kelengking serta kecederaan lain.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan di persimpangan lampu isyarat itu melibatkan kereta Proton Wira dipandu remaja tersebut dengan sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang seorang wanita berusia 38 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal sedang dari arah Jalan Kota Masai menghala ke Jalan Scientex manakala Proton Wira dari arah Taman Cendana hendak membelok ke kanan menghala ke Jalan Kota Masai.

“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal (wanita) tidak sempat membrek lalu melanggar Proton Wira yang sedang membelok.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan tangan serta menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa video tular di media sosial Facebook menunjukkan insiden itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Mohd. Sohaimi berkata, remaja yang memandu Proton Wira terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, pengguna jalan raya yang tidak dikenali berada di tempat kejadian berang dan bertindak memukul remaja lelaki tersebut.

Jelasnya, akibat dipukul, mangsa mengalami kecederaan di kepala, kaki, muka dan tangan termasuk kecederaan lain yang belum pasti dan kinj dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Mohd. Sohaimi berkata, polis juga membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata berbahaya sehingga mendatangkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222. -K! ONLINE

POPULAR