fbpx
Pengerusi Masjid Taman Rinting, Masai, Johor, Mohd. Fadzil Abd. Jabar menyusun barang-barang makanan yang disumbangkan pihak masjid dan orang ramai untuk keperluan golongan asnaf.

Gerobok kelangsungan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peningkatan mendadak golongan asnaf terdiri daripada orang miskin, ibu tunggal dan mereka yang hilang punca pendapatan bertambah hampir sekali ganda pada bulan Ramadan ini.

Selain mengharapkan bantuan zakat dan bayaran bulanan daripada pelbagai agensi berkaitan, kumpulan ini turut bergantung kepada sumber makanan yang disediakan di Gerobok Rezeki.

Gerobok Rezeki atau Food Bank biasanya disediakan di masjid dan surau-surau bagi memberi ruang kepada masyarakat yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan barang-barang dapur.

Dianggarkan, puluhan ribu golongan asnaf dan keluarga susah telah mendapatkan bantuan barang dapur dari Gerobok Rezeki di seluruh negara yang mencecah perbelanjaan hampir jutaan ringgit.

Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, kehadiran bulan Ramadan tahun ini yang masih diselubungi dengan penularan pandemik

Covid-19 turut menyaksikan peningkatan mendadak bilangan keluarga susah yang memerlukan bantuan.

Katanya, Gerobok Rezeki yang menyediakan pelbagai barangan dapur termasuk beras dan gula secara percuma kepada golongan memerlukan memang mendapat sambutan luar biasa sejak

bermulanya Ramadan tahun ini.

Menurut beliau, sebelum Ramadan, pihaknya memuatkan pelbagai barangan bernilai RM5,000 dalam Gerobok Rezeki yang disediakan oleh pihaknya di 120 lokasi di sekitar ibu negara.

“Pada Ramadan tahun ini, kami tambah barangan dapur sehingga bernilai RM10,000 kerana kami mendapati barang dapur itu akan cepat habis. Kadangkala cuma dalam tempoh sehari.

“Barang dapur bernilai RM10,000 ini adalah fasa pertama program Gerobok Rezeki untuk Ramadan tahun ini dan ia akan ditambah selepas barang yang disediakan habis. Barang lain yang kami masukkan dalam Gerobok Rezeki di sekolah adalah alat tulis dan alat penjagaan kebersihan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

 

PIHAK sekolah dengan kerjasama pihak berkaitan turut mewujudkan Gerobok Rezeki di sekolah bagi membantu pelajar susah.

Mohd. Ashraff Khan berkata, tinjauan pihaknya mendapati antara punca bilangan mereka yang mengambil barangan dapur daripada Gerobok Rezeki me­ningkat adalah disebabkan pertambahan jumlah golongan asnaf sejak pandemik Covid-19.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan terdapat peningkatan keluarga yang mengalami masalah kewangan akibat kehilangan kerja.

“Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa mengambil barang dapur dari Gerobok Rezeki bagi keperluan makanan terutama untuk sahur dan berbuka puasa.

Bagaimanapun, katanya, Empire Project mengalu-alukan mereka yang layak mengambil barang dapur dari Gerobok Rezeki kerana barang itu sememang­nya disediakan untuk mereka.

“Mereka layak mengambil barangan tersebut, namun perlu mencatat maklumat diri dan barang yang diambil dalam buku log disediakan sebagai rekod.

“Selepas itu, kita akan siasat latar belakang mereka dan jika perlu bantuan susulan, maka isu itu akan dipanjangkan kepada agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA), Mohd. Asna Amin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk sumbangan kepada Gero­bok Rezeki di masjid dan surau.

Menurut beliau, keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan terdapat pertambahan permintaan terhadap Gerobok Rezeki dalam kalangan mereka yang memerlukan semasa Ramadan kali ini.

“Secara peribadi saya rasa sedih kerana masih ramai rakyat berhadapan kesempitan dise­babkan pandemik Covid-19,” katanya.

Ramli WAIDI (kanan) dan Jamil Kamari menunjukkan barang dapur yang disediakan di Masjid Jamek Kampung Parit Selangor, Pontian.

Tolak rasa malu demi pastikan anak-anak dapat makan

KUALA LUMPUR – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itu yang terpaksa dilalui golongan asnaf di negara ini apabila mereka terpaksa melupakan perasaan malu semata-mata untuk mendapatkan barang dapur dari projek Ge­robok Rezeki yang disediakan pihak masjid.

Seorang asnaf yang mahu dikenali sebagai Lina, 43, berkata, dia kerap mendapatkan bekalan makanan dari sebuah masjid berhampiran rumahnya di Cheras di sini, sejak lima bulan lalu ekoran sering mengalami masalah kewangan.

“Walaupun suami masih bekerja, namun kewangan kami tidak seberapa. Jadi, saya terpaksa dapatkan barang dapur dari Gerobok Rezeki untuk pastikan anak dapat makan.

“Barang-barang yang diperoleh itu walaupun jumlah sedikit tetapi sangat membantu kami sekeluarga terutama pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Menurut wanita itu, dia sentiasa bersyukur dan berterima kasih kerana ahli jawatankuasa masjid di kawasannya tidak pernah memilih bulu dalam memberi bantuan.

Sementara itu, kesusahan hidup tanpa pendapatan selepas suami mengalami kemalangan memaksa seorang suri rumah di Bentong, Pahang mendapatkan bantuan daripada sebuah Food Bank di Masjid Kampung Baru, Bentong.

“Saya berasal dari Sabah dan tidak mempunyai keluarga di sini. Sebaik mengetahui ada bantuan makanan di sebuah masjid berhampiran, saya rasa gembira kerana ia dapat meringankan beban kami.

“Walaupun saya beragama Kristian, ia tidak menjadi penghalang untuk pihak masjid memberi bantuan,” ujarnya.

Seorang buruh dari Klang dikenali sebagai Ghani, 44, berkata, kewujudan Gerobok Rezeki banyak membantu golongan sepertinya.

“Saya berdoa suatu hari nanti saya dapat menyumbang kepada Gerobok Rezeki,” katanya.

Bendahari Masjid Kampung Baru, Abdul Rani Abdul Wahab (kiri) menyampaikan barangan keperluan daripada Food Bank Masjid Kampung Baru kepada seorang penduduk di Bentong.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN