fbpx

Tiga warga Bangladesh dalang pemalsuan pasport dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada barangan rampasan yang dipercayai digunakan oleh tiga lelaki Bangladesh untuk memalsukan dokumen seperti pasport. - Foto IHSAN PDRM

AMPANG JAYA – Polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh selepas dipercayai menjadi dalang kepada kegiatan pemalsuan pasport dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Ampang Utama di sini 10 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10.40 malam dan telah berjaya menahan tiga lelaki Bangladesh berusia 36 hingga 46 tahun.

“Pemeriksaan di unit kondominium berkenaan turut menemui pelbagai barangan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemalsuan dokumen pasport yang kemudiannya dirampas bagi membantu siasatan kes.

“Antara barangan yang dirampas adalah 13 keping pasport Bangladesh, dua salinan laporan polis dipercayai palsu, masing-masing sebuah pencetak dan komputer riba serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohammed Farouk, ketiga-tiga suspek yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan siasatan awal mendapati mereka baharu sahaja menetap di unit itu selama tiga bulan selain dipercayai sering berpindah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut berhubung modus operandi sindiket ini masih dijalankan dan pihak polis kini sedang berusaha mengesan saki baki rakan mereka yang terlibat dalam kegiatan sama.

“Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 24 April depan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966, Seksyen 12.(B) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)(Pindaan 2002),” tegas beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI