fbpx

Harga ayam, sotong dan sawi pula naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KU RUSMIZA menunjukkan resit harga ayam daripada pembekal kepada penguat kuasa PPDNHEP Perlis di Pasar Besar Arau semalam.

ARAU – Harga barang basah seperti ayam segar, sotong dan sawi didapati mengalami kenaikan menjelang Ramadan dengan harga ayam segar naik empat kali sejak awal bulan ini.

Tinjauan ke Pasar Besar Arau di sini semalam mendapati ayam segar dijual pada harga RM8.20 sekilogram berbanding RM7.90 pada bulan lalu.

Sotong bersaiz sederhana pula dijual pada harga RM25 sekilogram berbanding RM20 sekilogram kira-kira seminggu lalu.

Bagi sayur sawi, rata-rata peniaga memilih untuk menjual sawi dari Thailand berbanding Cameron Highlands yang harga­nya meningkat mendadak.

Seorang peniaga ayam, Ku Rusmiza Ku Desa, 40, berkata, harga ayam naik secara berpe­ringkat sebanyak RM1.20 berbanding awal bulan ini.

Katanya, kenaikan harga itu menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan untuk menaikkan harga ayam, tetapi masih mengikut harga pasaran.

MARZITA menyusun sayur sawi dari Thailand yang dijual di gerainya.

“Harga ayam pada Ramadan tahun ini meningkat sedikit berbanding Ramadan tahun lalu yang mana berharga sekitar RM7 sekilogram.

“Memang ada juga peniaga makanan yang merungut dengan kenaikan harga ayam ini tetapi mereka tiada pilihan dan terpaksa beli juga,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan harga ayam naik di­sebabkan kenaikan harga dedak.

Berita berkaitan: Harga ayam bakal naik RM10 sekilogram

Sementara itu, peniaga sayur, Marzita Othman, 40, berkata, harga sawi Cameron Highlands meningkat sehingga 900 peratus sejak awal tahun lalu iaitu daripada RM10 sebakul atau kira-kira 10 kilogram (kg) kepada RM90 sebakul ketika ini.

“Disebabkan harga yang terlalu mahal, saya memilih untuk mengambil sawi dari Thailand yang berharga RM50 untuk 10 kg,” ujarnya.

Dalam pada itu, peniaga ikan dan makanan laut, Rizal Ali, 48, berkata, harga ikan agak stabil, cuma terdapat sedikit kenaikan harga bagi sotong bersaiz sederhana iaitu RM25 sekilogram berbanding RM20 sekilogram kira-kira seminggu lalu.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar berkata, terdapat peningkatan harga bagi ayam segar stan­dard iaitu dari RM7.70 sekilogram sehingga RM8.50 melibatkan kenaikan 6.25 peratus.

“Bagi sayur sawi terdapat kenaikan sebanyak RM1 daripada RM6 harga jualan standard kepada RM7 sekilogram. Sotong pula mencatatkan kenaikan harga sehingga 40 peratus iaitu RM35 sekilogram daripada harga jualan standard RM25 sekilogram.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenaikan harga di­sebabkan berlakunya permintaan tinggi terhadap sayur sawi dan sotong dan terdapat kekurangan bekalan dari pengedar dan pembekal,” katanya.

Jelasnya, peningkatan harga bagi ayam segar standard berpunca daripada peruncit yang memperoleh harga yang agak tinggi daripada pembekal.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI