fbpx

Pansar bakal manfaatkan pelaburan potensi PESB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyedia penyelesaian kejuruteraan, Pansar Bhd. (Pansar) berjaya mengambil alih Perbena Emas Sdn. Bhd. (PESB) sekali gus memanfaatkan rekod prestasi 43 tahun syarikat tersebut dalam industri pembinaan dan pembangunan infrastruktur.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, melalui pemilikan tersebut, Pansar juga bakal memperoleh manfaat daripada perolehan kontrak PESB setakat ini yang bernilai RM2 bilion.

Ia merangkumi projek infrastruktur penting seperti reka bentuk dan pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak berjumlah RM485.99 juta.

Selain itu, PESB bakal terlibat dalam projek pembinaan Jambatan 1 Batang Lupar di Samarahan, Sarawak berjumlah RM848.75 juta yang mana ia akan dapat menyokong pendapatan syarikat berkenaan dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

“Hasil kombinasi nilai pero­lehan kontrak Pansar bernilai RM223 juta yang meliputi kontrak reka bentuk, pembinaan, pembekalan dan kejuruteraan daripada bahagian kejuruteraan, nilai perolehan keseluruhan bercagar bagi syarikat tersebut berjumlah RM2.2 bilion,” jelasnya.

Pansar melihat pengambilalihan PESB akan menjadi penanda aras signifikan dalam memacu perkembangan dan pertumbuhan Kumpulan pada masa hadapan.

“Melalui gabungan potensi pendapatan dan faedah integrasi menegak ini, kami membayangkan Kumpulan Pansar mampu menjadi pemain utama dalam industri pembangunan infrastruktur dan sivil di Malaysia Timur,” ujarnya.

Sementara itu, pengurusan Pansar berpendapat sektor pembinaan di Sarawak dijangka berdaya maju beberapa tahun akan datang dipandu perbelanjaan sebanyak RM22 bilion oleh kerajaan negeri bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur termasuk Jalan Utama Kedua, projek naik taraf jalan pesisir, program grid air, projek elektrik luar bandar dan pembinaan menara telekomunikasi.

Justeru, pada masa hadapan, Pansar menjangka aliran keuntungan dan pendapatan dari bisnes utama PESB yang berkaitan dengan aktiviti pembinaan dapat memberi sumbangan besar kepada keuntungan bersih Kumpulan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI