fbpx

Bekas pegawai Felcra didakwa pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didakwa memalsukan akaun milik majikannya di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Bekas pegawai Felcra Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dakwaan menipu dan memalsukan akaun milik majikannya empat tahun lalu.

Pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzaini Mohd Zain dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.

Tertuduh, Mohd. Haire Aw Sudin, 43, yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara bulan Januari hingga April 2018 ketika bertugas sebagai penolong eksekutif pembangunan peserta Felcra Berhad Kawasan Anak Endau, Rompin.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan dengan sengaja dan dengan niat hendak menipu, memalsukan kira-kira dalam buku akaun Imperes Tabung Kebajikan Peserta Felcra Berhad Kawasan Anak Endau, dalam daerah Rompin, bagi bulan Januari hingga Mac 2018.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama pada bulan April 2018 bagi pertuduhan keempat yang dikenakan terhadapnya.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh sebelum tertuduh mengemukakan rayuan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan menyara isteri serta dua anak dikategorikan orang kurang upaya (OKU) selain turut menjaga ibu bapa yang memerlukan rawatan bulanan di hospital.

Hakim kemudiannya membenarkan ikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh boleh melantik peguam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI