PETALING JAYA – Ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang menghilangkan diri sejak 21 hari lalu selepas polis melancarkan Ops Pelican 3.0 pada 20 Mac lepas kini diibaratkan seperti cacing kepanasan.
Pergerakan lelaki berusia 33 tahun dari Ampang, Selangor itu semakin terbatas biarpun bebas selepas dapat meloloskan diri dengan membawa ‘bekalan’ lapan beg yang dipenuhi wang tunai semasa keluar dari premis di Puchong dekat sini.

Ini berikutan, polis telah merampas wang tunai, kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce dan barangan berjenama seperti jam tangan.
Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2021/04/05/nicky-berkawan-dengan-tauke-judi-ahli-kongsi-gelap/
Turut dibekukan sebanyak 41 akaun bank berjumlah lebih RM4 juta dan 35 unit kenderaan melibatkan 21 individu dan 16 entiti yang mempunyai kaitan dengan Pengasas Winner Dynasty Group itu dalam operasi selama lapan hari berakhir 28 Mac lalu.
Terbaharu, pertuduhan ke atas Nicky di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini kelmarin dijangka menyukarkan lagi pergerakan lelaki itu yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan membuat permohonan Notis Merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) dalam masa terdekat.
“Dia (Nicky) mungkin ada wang tunai, masih hidup mewah, namun pergerakannya kini semakin terhad.
“Sebelum ini kita sudah membuat permohonan kepada Interpol untuk membantu mengesan Nicky (blue notices). Jadi kita akan pohon red notices selepas ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Notis merah dikeluarkan apabila seseorang individu dikehendaki sesebuah negara untuk pendakwaan atau untuk menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, nama Nicky kini berada dalam senarai di semua pintu masuk sah dan laluan tikus.
Gambar lelaki itu turut diedarkan di pos kawalan keselamatan di sempadan bagi memastikan Nicky tidak menyusup keluar dari negara ini.
Ditanya mengenai kemungkinan Nicky akan menjalankan atau terlibat dalam ‘perniagaan’ lain, Ayob Khan memberitahu, perkara itu hampir mustahil.
Jelas beliau, ini kerana, orang bawahan lelaki itu atau mana-mana individu lain sudah tidak berani mendekati Nicky yang kini berada dalam radar pihak berkuasa.

Kosmo! pada 31 Mac lalu melaporkan polis menumpaskan Geng Nicky yang dipercayai terlibat dalam jenayah terancang dengan penahanan 118 individu termasuk warga China.
Seramai 48 daripada mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Bagi melicinkan operasi, kumpulan itu dipercayai bersekongkol bersama 34 penguat kuasa termasuk polis.
Selepas siasatan dilakukan, seramai 16 orang termasuk Nicky, isteri dan dua adiknya dituduh kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kelmarin.
Nicky dan isterinya dituduh secara in absentia.
Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun. Kesemua mereka tidak dibenarkan diikat jamin mengikut Seksyen 13 SOSMA kerana kesalahan keselamatan yang serius.
Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2021/04/09/14-termasuk-2-adik-nicky-didakwa-terbabit-jenayah-terancang-geng-nicky/














