fbpx

Seludup ketum tapi guna alasan ziarah ibu sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Choon Foo (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam kenderaan dipandu seorang lelaki di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang semalam. - FOTO : AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Selepas tiga kali terlepas menyalahgunakan surat kebenaran untuk merentas negeri sejak tiga bulan lalu, seorang lelaki yang bertindak sebagai penghantar daun ketum dari Kedah ke Kelantan akhirnya ditahan polis Selasa lalu.

Lelaki berusia 38 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza itu ditahan ketika tiba di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Kundur di sini pada pukul 2.56 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika di SJR itu, polis memeriksa surat kebenaran merentas negeri dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini dan mendapati alasannya ke Kedah untuk menziarah ibunya yang sedang sakit.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan 16 bungkusan plastik hitam yang berisi daun ketum seberat 160 kilogram.

“Siasatan mendapati, suspek yang memandu seorang diri dipercayai menjadi penghantar daun-daun ketum itu selepas mendapat bekalan daripada seorang lelaki Siam di Kuala Nerang, Kedah.

“Berdasarkan keterangan suspek, pembelian daun ketum itu dilakukan sebanyak tiga kali dalam sebulan untuk dihantar kepada seorang wanita tempatan sebelum ia dijual di sekitar Kota Bharu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Gua Musang hari ini.

Menurut Choon Foo, suspek juga mendapat upah sebanyak RM1,500 untuk setiap perjalanan membawa daun-daun ketum dari Kedah.

Katanya, polis sedang mengesan identiti seorang lelaki Siam dan wanita yang terlibat dalam kegiatan itu.

“Ujian saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan bermula semalam sehingga 11 April ini,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI