fbpx
Pertandingan Pidato Piala AZH dimenangi Shahmer Rafeeq bagi kategori Muda.

Bakat besar Shahmeer Rafeeq dalam pidato

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT pengacara mengumumkan nama johan Pertandingan Pidato Piala Ahmad Zahid Hamidi (AZH), dunia seakan-akan terhenti seketika buat Shahmeer Rafeeq Abdullah.

Dalam gemuruh dewan yang dipenuhi sorakan dan tepukan, anak muda itu terpaku di atas pentas, seolah-olah masih cuba mempercayai bahawa nama yang disebut itu benar-benar miliknya.

Siapa sangka, pertaruhan saat akhir pemuda yang segak mengenakan busana tradisional Melayu berona merah hati lengkap bersamping songket dan bertanjak itu akhirnya membuahkan hasil.

Menerusi pidato bertemakan Generasi Z dan teknologi, Shahmeer, 18, berjaya memukau barisan juri dengan penyampaian yang berani, matang dan sarat idea pembaharuan, sekali gus menewaskan peserta lain dalam pertandingan berprestij itu.

Lebih manis, kemenangan tersebut hadir ketika dia sendiri tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk bergelar juara.

Bagi pemuda itu, pengalaman sering tewas dalam pertandingan pidato sebelum ini membuatkan dirinya hadir sekadar mahu mencuba nasib dan menimba pengalaman.

Namun tanpa disangka, malam yang disertai tanpa harapan besar itu akhirnya menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang pemidato muda.

“Saya sangat terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai juara kerana sebelum ini saya tidak pernah berjaya melepasi peringkat akhir dalam mana-mana pertandingan pidato yang disertai.

“Malah, persiapan yang dibuat dalam tempoh singkat membuatkan saya merasakan peluang untuk menang agak tipis, tambahan pula saya sempat tersasul ketika berucap di pentas akhir.

“Tetapi saya rasa kekuatan saya pada malam itu adalah apabila saya cuba tampil dengan jawapan yang lebih berbeza dan kritikal, bukan sekadar menyentuh usaha yang sudah ada, sebaliknya turut mencadangkan idea penambahbaikan untuk masa depan negara,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk rekod, Shahmeer Rafeeq merupakan johan Pertandingan Pidato Piala AZH bagi kategori Muda yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah atau mereka yang masih belum memasuki institusi pengajian tinggi.

Pertandingan yang disertai seramai 120 peserta itu turut menampilkan kategori utama yang terbuka kepada orang awam sehingga usia 40 tahun.

Bagi kategori awam, kemenangan menjadi milik Mohammad Omar Suharuddin yang berjaya memikat hati juri menerusi pidato bertajuk Bahtera Bangsa.

Pertandingan tersebut bermula pada 29 April menerusi peringkat saringan sebelum diteruskan dengan separuh akhir pada 30 April, manakala kemuncaknya berlangsung pada malam 1 Mei lalu menerusi pertandingan akhir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Pertandingan itu dianjurkan menggunakan nama Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan merupakan antara barisan juri yang menilai persembahan peserta-peserta tersebut,

Pertandingan Pidato Piala AZH yang julung kali dianjurkan itu diadakan bersempena ulang tahun ke-80 UMNO, sekali gus memberi ruang dan peluang kepada anak muda untuk mengenali parti tersebut dengan lebih dekat.

Selain itu, pertandingan berkenaan turut menjadi platform kepada golongan muda untuk membina idea serta melontarkan pandangan mereka seiring dengan perkembangan semasa UMNO yang kini mencecah usia 80 tahun.

Pada masa sama, pertandingan itu juga bertujuan melahirkan generasi muda yang lebih kritikal dan berani mengkaji sejarah serta perkembangan parti politik tertua di Malaysia tersebut.

Shahmeer yang berasal dari Pahang juga merupakan pelajar yang pintar apabila meraih 8A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Shahmeer mengakui penglibatannya dalam bidang pengucapan awam bermula seawal darjah tiga.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 16, Bandar Tun Razak, Pahang itu pernah menyertai Pertandingan Pidato Piala Perdana Menteri, namun sering terkandas di peringkat separuh akhir.

Walaupun begitu, dia lebih menyerlah dalam bidang debat dan deklamasi sajak apabila beberapa kali dinobatkan sebagai pendebat terbaik peringkat negeri Pahang serta memenangi pertandingan deklamasi sajak di peringkat yang sama.

Kejayaan dalam bidang-bidang tersebut menjadi asas kepada keyakinannya dalam pengucapan awam, meskipun kejayaan dalam pidato agak sukar dicapai sebelum ini.

Oleh itu, kemenangan dalam Pidato Piala AZH ini dianggap sebagai pencapaian yang melengkapkan perjalanan dan pengalamannya dalam pengucapan awam.

AHMAD MASLAN merupakan antara juri yang menilai para peserta dalam Pertandingan Pidato Piala AZH yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, selepas tidak berjaya mendapat tempat di Institut Pendidikan Guru (IPG), dia kini menjadikan bidang guaman di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebagai pilihan kedua, selaras dengan minatnya dalam bidang pengucapan awam.

“Guru-guru melihat potensi saya dalam bidang tersebut kerana saya petah bercakap dan berani menyampaikan hujah dengan baik, dan kemenangan ini menguatkan lagi keyakinan tersebut.

“Dalam masa yang sama, saya berhasrat untuk terus melibatkan diri dalam pertandingan pidato, termasuk salah satu di peringkat antarabangsa yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos.

“Saya mengidolakan Usman Awang. Sejak kecil lagi saya meminati karya sajak beliau, dan daripada situlah saya mendapat semangat untuk menjadi seorang pemidato dan penyajak,” katanya.

Sementara itu, pemenang kategori awam, Mohammad Omar, menyifatkan kemenangannya sebagai satu kejutan yang tidak disangka-sangka apabila dia tetap berjaya walaupun tampil dengan suara serak di atas pentas.

Lebih melucukan, penyertaan lelaki berusia 28 tahun itu dibuat pada saat akhir selepas mengetahui kategori awam dibuka kepada peserta sehingga usia 40 tahun.

Ini kerana pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu pada awalnya hanya hadir untuk menemani pelajar-pelajar junior yang merupakan anak didiknya dalam bidang pengucapan awam.

Lelaki yang pernah memenangi enam kejohanan di peringkat kebangsaan termasuk Piala Diraja, Piala Rukun Negara dan Piala Kenegaraan itu turut menggunakan elemen sentimen untuk mengambil hati juri.

“Saya sememangnya berpengalaman luas dalam pertandingan pidato. Jadi saya tahu suara serak saya berpotensi menjejaskan persembahan.

“Oleh itu, saya memasukkan sedikit sentimen yang menyentuh tentang dedikasi saya yang tidak mahu mudah menyerah walaupun sudah kehilangan suara akibat influenza.

“Saya juga berharap ia dapat menaikkan semangat kepada semua pemidato yang menonton agar bijak memanfaatkan masalah yang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, ia membuahkan hasil,” katanya.

Bercakap tentang idolanya dalam pengucapan awam, Mohammad Omar memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli politik, Khairy Jamaluddin sebagai rujukan.

Jelasnya, dia berminat untuk menjadi lebih aktif sebagai pemuda UMNO suatu hari nanti.

Namun, buat masa ini, tumpuan sepenuhnya dicurahkan kepada usaha melahirkan lebih ramai generasi pemidato hebat di UMK secara khusus dan Malaysia secara amnya.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai sasaran untuk menyertai pertandingan pidato lain selepas ini.

“Tumpuan saya adalah untuk terus mendidik anak bangsa yang boleh menjadi pelapis kepada bakat pemidato negara dengan menemani mereka ke semua pertandingan yang disertai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN