fbpx

Penduduk mahu pemaju tunaikan janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada 20 penduduk Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau berkumpul bagi mendesak pemaju tunaikan janji untuk menyerahkan tapak masjid kepada MAIPP semalam.

BALIK PULAU – Penduduk di Bandar Baru Air Putih di sini kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa gagal me­ngotakan janji bagi mendapatkan semula tapak masjid di kawasan perumahan terbabit daripada pihak pemaju sejak 10 tahun lalu.

Semalam, mereka terdiri da­ripada kira-kira 20 penduduk kawasan perumahan itu berkumpul secara aman pada pukul 9.30 pagi bagi mendesak campur tangan pihak berkaitan dalam membantu mendapatkan semula tapak masjid daripada pemaju perumahan tersebut.

Lokasi tapak masjid ber­kenaan terletak di bawah seliaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang.

Penasihat Persatuan Penduduk Bandar Baru Air Putih, Mohamad Pazli Ismail berkata, pengambilan tapak masjid seluas 1.2 hektar itu telah dilaksanakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi pelan induk yang diluluskan pada awal penyerahan fasa satu tahun 2006.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini masih tiada sebarang tanda penyerahan tapak masjid berkenaan daripada pihak pemaju kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai pemegang amanah.

“Persatuan penduduk di sini telahpun memulakan langkah untuk mendesak pihak pemaju menyerahkannya sejak dari tahun 2012 lagi termasuk bertemu dengan Timbalan Ketua Menteri 1 semasa itu iaitu Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

“Lebih 10 kali naik dan turun dari Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak) tetapi malangnya sehingga saat ini masih tiada sebarang maklum balas atau tindakan daripada kerajaan negeri.

“Kami bimbang tapak ini lesap dengan pembangunan komersial sepertimana yang telah berlaku di kawasan berhampiran di sini selain bimbang status tanah ini telah ditukar ganti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, populasi penduduk yang tinggal di Bandar Baru Air Putih dianggarkan lebih 5,000 orang dan penduduk beragama Islam terpaksa berkongsi sebuah surau sementara yang ditempatkan di dalam dewan orang ramai berdekatan flat di situ.

“Kita percaya ada pihak main baling batu tentang perkara ini. Sampai bila penduduk hendak tunggu.

“Kami hendak menuntut perkara yang telahpun termaktub dalam pelan asal sejak kami tinggal di sini pada tahun 2006,” jelasnya yang terpaksa me­rayu kerjasama Pesuruhjaya Pas ne­geri, Muhammad Fauzi Yusof dalam membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim pula memberitahu, pihak pemaju perumahan berkenaan seharusnya menyerahkan tapak masjid se­pertimana termaktub di dalam pelan induk yang diluluskan kerajaan tempatan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI