fbpx

Ibu hidap kanser, ayah buta disimbah asid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah BOON menolak kerusi roda dinaiki ibunya yang menghidap kanser di PPR Sena, Kangar semalam. Turut kelihatan bapanya yang buta.

KANGAR – Seorang pemuda terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik kedai tayar bagi menjaga ibunya yang menderita sakit kanser usus tahap tiga serta bapanya yang buta akibat disimbah asid di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sena di sini.

Pemuda itu, Quah Kah Boon, 27, yang merupakan anak tunggal telah memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga setelah tragedi menimpa bapanya, Quah Swee Choong, 55, pada September 2010.

Swee Choong menjadi orang kelainan upaya (OKU) selepas disimbah asid oleh seorang individu yang tidak berpuas hati dengannya.

Menurut Kah Boon, dia juga menjaga ibu, Leong Mei Cheng, 49, yang menghidap kanser usus pada Januari 2010 sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan kimoterapi.

Selepas itu katanya, keadaan ibunya baik sebelum menjadi te­­r­uk pada awal tahun lalu sehingga dia terpaksa membuat ke­putusan untuk berhenti kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu bagi menjaga kedua-dua ibu bapanya.

“Saya tidak rasa terbeban menjaga ibu bapa kerana mereka sudah menjaga saya sejak kecil, jadi sekarang adalah masa saya pula membalas jasa mereka selama ini.

“Buat masa ini, saya tidak dapat bekerja kerana ibu memerlukan bantuan saya untuk bergerak kerana kedua-dua ka­kinya membengkak sehingga menyukarkannya untuk berjalan,” katanya.

Kah Boon berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling di rumah mereka di sini semalam.

Kah Boon memberitahu, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk digunakan sebagai perbelanjaan harian.

Sementara itu, Mei Cheng berkata, suaminya menerima bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, manakala dia menerima sebanyak RM200 untuk bantuan sebagai penjaganya.

“Bagi rawatan kanser, ada kalanya saya perlu pergi ke hospital di Alor Setar dan Pulau Pinang. Doktor meminta saya membuat rawatan kimoterapi, tetapi saya sudah tidak mahu kerana tidak tahan sakit.

“Buat masa ini saya hanya mengambil ubat mengandungi morfin untuk menahan sakit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ay Ling berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan JKM untuk Mei Cheng serta bantuan e-Kasih melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

“Buat masa ini, bantuan JKM untuk Mei Cheng adalah sebagai penjaga kepada OKU. Mungkin ada bantuan lain yang boleh diberi memandangkan keadaan kesihatannya yang turut menderita akibat kanser,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Kah Boon di talian 014-9449972 atau boleh berhubung terus dengan Ay Ling di 012-4012265.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI