JURULATIH skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Nafuzi Zain menyeru pasukan untuk memulakan kempen Kejuaraan ASEAN B-19 menentang Singapura di Medan, Indonesia hari ini dengan kemenangan jika berhasrat untuk lolos ke separuh akhir.
Menurut Nafuzi, skuad remaja Harimau Malaya wajib meraih tiga mata pada aksi pertama Kumpulan B kerana ia boleh menaikkan semangat untuk mengharungi baki saingan dengan lebih yakin nanti.
Nafuzi berkata, pasukan perlu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan berharap barisan pemain waspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh Sang Singa nanti.
“Yang penting kena menang perlawanan pertama untuk membuka peluang kami ke separuh akhir. Kami perlu menang dengan (tahap) persembahan yang saya inginkan.
“Kita boleh lihat Singapura memiliki skuad berkualiti serta cukup bersedia untuk memberikan tentangan sengit sepanjang kejohanan ini.
“Status pilihan atau rekod lepas tidak lagi dijadikan kayu ukur dalam kejohanan peringkat remaja kerana setiap pasukan hadir dengan persiapan ampuh dan mampu mencipta kejutan,” katanya.
Sementara itu, Nafuzi yang juga jurulatih skuad B-23 negara mengakui kumpulan pemain B-19 kali ini memiliki kualiti yang baik dan mampu menyinar di peringkat antarabangsa.
Malaysia yang pernah bergelar juara edisi 2018 dan 2022 turut bertemu dengan Brunei pada Jumaat nanti sebelum mengakhiri saingan kumpulan menentang pilihan, Thailand pada 8 Jun.






