fbpx

Demi maslahah negeri Johor – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiba bagi mempengerusikan Mesyuarat (Bersatu) dan Perikatan Nasional Negeri Johor di Hotel Zenith di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – “Kita akan terus bersama-sama. Itu janji kita bukan untuk UMNO tetapi negeri Johor,” tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, setakat hari ini tiada keputusan berhubung penarikan sokongan tersebut kerana Bersatu lebih memikirkan soal menjaga kemaslahatan di negeri itu.

“Yang penting dari sudut Bersatu ialah memikirkan soal negara, negeri dan rakyat supaya tidak timbul satu pergolakan yang nanti akan membawa kesan buruk kepada negeri dan negara.

“Sebab itu di peringkat negara, saya dan rakan Kabinet UMNO telah putuskan mereka akan terus kekal bersama sama ada menteri atau timbalan menteri. Jadi untuk Johor akan kekal begitu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan harapan supaya keadilan turut diberikan kepada parti tersebut di negeri Johor.

“Cuma harapan kita berlaku adillah kepada Bersatu kerana ada rungutan, pembahagian jawatan ketua-ketua kampung yang dibuat secara tidak dirunding dengan betul. Ini membangkitkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Mengenai kerjasama antara Bersatu dan PAS, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dalam apa jua situasi dan keadaan, kedua-dua parti tersebut akan terus bersama-sama.

“Kita telah bertekad supaya apa pun situasi keadaan, kita akan bersama-sama dan baiknya dalam mesyuarat saya hadir bersama PAS di peringkat nasional, nampak komitmen kami kedua-dua parti terhadap hala tuju kehadapan yang amat jelas.

“Apa pun yang berlaku itu soal UMNO, tetapi dari sudut kerjasama PAS dan Bersatu untuk kehadapan itu jelas termasuk penubuhan jawatankuasa bersama, berbincang persiapan pilihan raya, rundingan kerusi kerana saya rasa ini nak diutamakan,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu Johor mengingatkan Hasni bahawa beliau boleh tumbang pada bila-bila masa berikutan memiliki sokongan rapuh sebagai Menteri Besar.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Ir. Md. Nasir Hashim dilaporkan berkata, hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti yang membentuk kerajaan negeri termasuk wakil rakyat Bersatu boleh menentukan nasib Hasni dan UMNO di negeri itu ketika ini.

Ini berikutan kenyataan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada Persidangan Agung UMNO baru-baru ini berkaitan Muhyiddin Yassin selaku Ahli Parlimen Pagoh adalah lemah di kawasan sendiri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI