fbpx

Pencuci pinggan berjaya realisasikan impian menjadi jutawan sabun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform PKS

PETALING JAYA – Tuah jenama Do’zee selepas bertukar daripada Top 5, keluaran syarikat SR Asia Resources Sdn. Bhd. (SR Asia Resources) telah membo­lehkan entiti ini semakin berjaya sekali gus meletakkan namanya setanding dengan syarikat utama di Malaysia.

Kejayaan pengeluar pelbagai produk cucian untuk isi rumah dan industri itu telah diasaskan oleh Datuk Mohd. Syukri Ibrahim.

Kecemerlangan itu bukan datang bergolek di depan mata tetapi hasil daripada jerih perih anak kelahiran Kedah ini membangunkan empayarnya sejak tahun 1998.

“Saya dulu bermula daripada kosong dan tanpa apa-apa, tapi sekarang kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi dikurniakan oleh Tuhan untuk membo­lehkan saya lebih bersedekah, memberi manfaat kepada masyarakat dan juga menawarkan peluang perniagaan kepada ramai usahawan serta pekerjaan kepada masyarakat di luar sana.

“Kehidupan sekarang macam biasa tetapi saya berharap bila saya tiada nanti, warisan perniagaan ini akan diteruskan dan diuruskan mengikut panduan Islam,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat baharunya di Wisma Do’zee di Puncak Alam baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi SR Asia Resources, Sheikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli.

Premis setinggi tiga tingkat bernilai RM5 juta itu turut memiliki restoran yang dikenali sebagai Akarr Cafe bagi meme­nuhi keperluan komuniti di kawasan berkenaan.

Mohd. Syukri, 41, yang memiliki pengalaman menguruskan kantin sebelum ini membawa kelainan dalam rekaan dalaman restorannya agar ia lebih selesa, malah kombinasi menu masakan Melayu, Barat dan Thailand juga menjadikan kafe berkenaan sentiasa padat dengan pengunjung.

Memiliki ibu pejabat sendiri tidak bermakna Mohd. Syukri boleh ‘goyang kaki’ di kerusi empuk ketua pegawai eksekutif tetapi beliau kini semakin agresif menceburi bidang pemborongan.

Beliau mahu menjadikan cabang perniagaan tersebut sebagai antara ­penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat pada masa depan.

Beliau juga sedang menyusun strategi untuk membangunkan sebuah pusat pemborongan terbesar di Puncak Alam.

Seiring dengan perniagaan sedia adanya yang terlibat dengan kantin dan kini sebuah kafe, perniagaan borong tersebut akan melengkapkan dan memudahkan lagi perjalanan operasi ­nia­ganya untuk jangka masa panjang.

“Saya telah menceburi bidang pemborongan ini sejak tahun lalu secara kecil-kecilan dan memandangkan permintaan sudah ada serta makin bertambah, saya mahu terus aktif dalam segmen ini.

“Ia melibatkan jualan barang­an secara pukal bagi barangan basah dan kering kepada peniaga kecil, saya jangkakan segmen ini bakal menyumbang kira-kira 25 peratus kepada perolehan syarikat,” jelasnya.

Mengimbau kisah lalu, Mohd. Syukri yang meninggalkan kampungnya untuk berhijrah ke ibu kota dengan hanya bermodalkan RM20 nekad untuk mengubah nasib diri dan keluarganya.

Beliau mula mengambil upah mencuci pinggan di sebuah kantin pada tahun 1998.

Mungkin kerana setiap hari ‘bermain’ dengan sabun, hati kecilnya mula terdetik untuk menghasilkan produk cucian buatan sendiri untuk kegunaan rumah dan juga industri.

Bermula di situ, beliau mula menyusun strategi untuk merea­lisasikan cita-cita murninya

Usahawan yang hanya tamat pelajaran sekadar di tingkatan lima itu terus menimba ilmu bisnes termasuk memasak dan menguruskan kantin.

Selama 10 tahun dalam bidang tersebut, beliau berjaya membuka sebuah kantin.

Hasil tabungan daripada perniagaan kantin, Mohd. Syukri mula mengintai peluang untuk membangunkan produk cucian sambil dibantu oleh rakannya.

Jelas beliau, untuk fasa pertama, Do’zee hanya dijual kepada kawan dan ke­luarga.

“Pada mula berniaga, susah juga nak jual produk sabun baharu ini kerana masyarakat lebih selesa membeli jenama cucian yang mereka biasa guna sebelum ini.

“Kerugian dan hutang turut ditanggung dan akhirnya saya dan rakan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan me­ningkatkan cara pemasaran sehingga berjaya membangunkan sebuah kilang kecil di Puncak Alam,” jelasnya.

Jualan juga semakin bertambah, kakitangan lebih ramai diperlukan dan pengedaran melalui stokis dan pengedar telah meran­cakkan operasi perniagaannya.

Kini, syarikat menjual antara 60,000 hingga 70,000 botol sabun Do’zee sebulan dan beliau me­nyasarkan kapasiti pengeluaran mencecah hingga satu juta botol sabun pada masa depan.

Sabun Do’zee dikeluarkan dalam tiga saiz botol iaitu 1.8 kilogram (kg), 4kg dan 10kg dengan setiap saiz memiliki lapan wangian yang dapat meme­nuhi kehendak pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI