fbpx

Berita tular tidak betul jatuhkan moral polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asmadi (tengah) bersama sebahagian daripada warga IPD Ipoh pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 di Kompleks Latihan Sukan Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

IPOH – Kerana enggan mengirim wang kepada ibunya, seorang lelaki sanggup berbohong memberitahu dia tiada duit selepas disaman RM10,000 oleh polis atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di tempat awam.

Cerita lelaki itu kemudian menimbulkan rasa kasihan pada ibunya lalu mengadu kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum berita itu tular di laman sosial sehingga menimbulkan kecaman warga maya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz, berkata, kejadian tersebut yang berlaku dua minggu lalu bagaimanapun selesai setelah individu yang memuat naik berita berkenaan di laman sosial menemui pihaknya untuk mengakui kesilapan.

Malah, wakil NGO yang beribu pejabat di Kajang, Selangor itu juga tampil menemui beliau untuk membuat permohonan maaf kerana tidak merujuk kepada polis terlebih dahulu berhubung dakwaan warga emas tersebut.

“Sebenarnya perkara seperti ini boleh diselesaikan sekiranya orang awam merujuk sebarang kekeliruan berhubung apa-apa maklumat yang diterima kepada pihak polis terlebih dahulu.

“Seperti kes tadi, susulan daripada dakwaan NGO tersebut kita telah membuat satu laporan polis untuk melakukan siasatan dan mendapati cerita (disaman) adalah sengaja direka kerana anaknya tidak mahu mengirim duit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 di Kompleks Latihan Sukan Kontinjen Perak di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 184 warga polis, orang awam termasuk 10 petugas media menerima surat penghargaan atas pencapaian masing-masing.

Asmadi berkata, sehubungan itu beliau menasihatkan masyarakat agar tidak menggunakan platform media sosial untuk memuat naik berita-berita yang tidak diketahui kesahihannya dan kemudian menjadi tular sehingga menimbulkan persepsi awam.

“Bagi penduduk Ipoh, mereka boleh sahaja datang ke mana-mana 25 buah balai polis di bandar ini sekiranya ada keraguan tentang apa-apa perkara berkaitan keselamatan termasuklah pematuhan SOP Covid-19.

“Penyebaran berita tular ini sebenarnya turut memberi kesan moral kepada pihak polis, jadi masyarakat perlu bersama-sama membendung berita tidak benar ini,” ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI