fbpx

Pihak ketiga berkepentingan tiada niat baik menuntut harta sita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pihak ketiga berkepentingan yang ingin menuntut harta berupa ratusan beg tangan mewah pelbagai jenama, wang tunai, jam tangan serta 27 buah kereta yang dirampas daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri serta 16 pihak lain tidak mempunyai niat yang baik untuk menuntut harta tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifudin Hashim Musaimi berhujah, hasil daripada siasatan pihak polis berdasarkan laporan maklumat awal menunjukkan harta-harta itu diperolehi daripada aktiviti wang haram.

Menurut beliau, justeru itu tiada `jalan’ langsung yang membolehkan pihak ketiga atau mereka yang berkepentingan menuntut harta berkenaan kerana wujud kesalahan pengubahan wang haram menyebabkan status wang dan kewujudan barangan-barangan berharga itu diragui.

Sehubungan itu, Muhammad Saifudin menghujahkan bahawa pihak penuntut gagal memberikan sebarang sebab yang munasabah mengapa harta-harta berkenaan tidak boleh dilucut hak.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berhujah, hasil siasatan polis juga menemukan tiga proses jejakan wang yang dilapisi aktiviti haram serta mengesan entiti penerimanya.

Hujah pendakwa raya, walaupun tiada transaksi tunai berlaku dan hanya melibatkan cek, namun pengaliran keluar masuk wang itu adalah melibatkan wang yang telah tercemar.

Menurut Faten Hadni, tiada penjelasan yang munasabah mengapa wang berjuta-juta ringgit dipindah masuk ke dalam akaun dalam keadaan sedar walhal pemindahan itu bukan hasil aktiviti scam.

“Jika derma, mengapa pula perlu dipulangkan dan nilainya besar melibatkan jutaan ringgit. Kami bukan hendak menunjukkan siapa bersalah dalam hal ini tetapi untuk menunjukkan aktiviti pengubahan wang telah berlaku,” pertikai pihak pendakwaan.

Mahkamah turut diberitahu, pemilik akaun perlu menunjukkan bahawa pihaknya tidak tahu menahu berhubung pemindahan masuk wang yang dilakukan berkali-kali untuk tempoh tertentu.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar permohonan kerajaan untuk melucut hak harta-harta milik 18 pihak itu dibenarkan.

Permohonan yang didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 1 April ini untuk penghujahan pihak responden.

Mahkamah sedang mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak barangan yang disita dari kediaman bekas Perdana Menteri itu dan 17 pihak lain, dua tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI