fbpx

Dari stadium ke projek lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

KISAH malapetaka, tragedi dan bencana melibatkan runtuhan bukanlah asing bagi Malaysia.

Dari sekecil-kecil runtuhan melibatkan kren pembinaan, sehinggalah kepada runtuhan blok kondominium yang meragut berpuluh nyawa, semua itu telah tercatat dalam sejarah hitam negara.

Pelbagai teori didedahkan mengenai punca kepada setiap kejadian. Ada yang menyalahkan alam dan bentuk muka bumi sebagai asbab, namun ramai juga yang menuding jari dan mempersoalkan kecuaian manusia sebagai punca utama tragedi.

Mengimbas kembali sejarah lalu, mungkin ramai yang masih ingat akan tarikh 2 Jun 2009. Tarikh ini meninggalkan kesan cukup mendalam kepada rakyat Terengganu.

Pada tarikh berkenaan, hampir separuh daripada struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di Kuala Terengganu runtuh.

Paling mengejutkan, runtuhan berlaku hanya selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu digunakan bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Cumanya, kita bersyukur kejadian pada 2 Jun 2009 itu tidak meragut sebarang nyawa.

Bagaimanapun, pada 20 Februari 2013, iaitu kira-kira empat tahun selepas kejadian pertama, satu lagi runtuhan berlaku. Kali ini melibatkan kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh ketika kerja-kerja baik pulih dilakukan.

Agak malang apabila kejadian itu mengakibatkan lima pekerja cedera dengan tiga daripadanya parah.

Rentetan daripada dua kejadian itu, pelbagai kecaman dan reaksi balas disuarakan sehingga mencetuskan polemik serta kemarahan rakyat.

Paling terpalit pastinya kerajaan negeri yang dihentam kiri dan kanan sehinggalah nama Terengganu menjadi bahan sindiran dan digelar ‘Darul Runtuh’.

Kini, selepas hampir 12 tahun berlalu, kisah stadium runtuh telah dilupakan dan hanya tinggal kenangan. Namun, badi ‘runtuhan’ telah beralih kepada sebuah projek pembinaan berskala mega yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang atau nama popularnya SUKE ketika ini menjadi bahan kecaman dek kerana beberapa siri tragedi yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Berbeza dengan kes di Terengganu, kejadian melibatkan SUKE lebih kepada struktur binaan yang jatuh sama ada melibatkan komponen kren, konkrit atau bancuhan simen. Untuk rekod, sekurang-kurangnya empat kejadian telah berlaku sejak tahun lalu dengan dua daripadanya menyebabkan kematian.

Situasi itu telah mencetuskan rasa gentar bagi setiap pengguna yang melalui kawasan pembinaan hampir setiap hari. Ia ibarat bertarung nyawa apabila berada dicelah-celah konkrit besar dan kren bersaiz gergasi.

Hakikatnya, sebagai pengguna jalan raya, kita sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan projek berkenaan.

Bagaimanapun, sebagai manusia, kita ada hak untuk mempertahankan nyawa daripada menjadi mangsa kepada kecuaian pihak lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI