PETALING JAYA – Seorang wanita mencabar diri menceburi bidang pekerjaan dimonopoli kaum lelaki apabila setiap hari dia perlu memanjat tangga menara kren dan bekerja di ketinggian puluhan meter.
Rutin harian itu dilalui Nik Asmida Nik Mat, 37, sudah hampir tiga tahun sebagai operator menara kren melibatkan projek perumahan tinggi dengan yang terkini di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Berkongsi kisahnya memilih pekerjaan berkenaan, Nik Asmida yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkata, sebelum ini dia mengusahakan sebuah restoran di kampung, namun berdepan masalah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.
“Saya berniaga sebuah restoran dekat 11 tahun sebelum ada masalah kewangan sewaktu PKP. Ketika itulah, saya terjumpa seorang penduduk di kampung yang bawa kren dan saya tanya nak belajar bawa kren. Dia pun terkejut kerana saya wanita minat bawa kren.
“Dia minta saya datang ke Kuala Lumpur untuk cuba gayat atau tidak dulu. Kemudian dalam seminggu, saya datang dan cuba curi-curi bawa kren, tapi masa itu belum ada lesen lagi.
“Selepas itu saya ambil kursus secara personal di Akademi Binaan Malaysia di Sintok, Kedah. Ada tiga kertas, tapi saya gagal di bahagian lisan dan ulang dua kali baru lulus,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Nik Asmida berkata, sewaktu mula bekerja sebagai operator menara kren, dia turut melakukan kesilapan ketika mengendalikan alat berkenaan dengan beban yang dibawa.
“Masa pertama kali bawa itu macam-macam langgar. Langgar bumbung, langgar bangunan. Kita tengok macam senang, tapi sebenarnya susah. Bila dah faham, barulah kita boleh buat sebab ini berkait dengan beban berat. Risiko memang banyak.
“Ia ibarat sebatang pokok dan kita duduk atas pokok. Kalau pokok bergoyang, kita pun bergoyang sama. Kemudian risiko kena tarik angin kuat, tersangkut. Sepanjang saya mengayun, kita macam terangguk-angguk, macam nak jatuh, turun naik, turun naik, macam itu lah jantung kita,” katanya.
Wanita itu berkata, pada masa ini dia bekerja pada ketinggian sekitar 40 hingga 50 meter, namun ia akan berubah-ubah bergantung kepada perkembangan dan kemajuan projek pembinaan perumahan tersebut.
“Sekarang ini baru di bahagian basement (tingkat bawah tanah) untuk buat parking dan ketinggian ini akan bertambah dari masa ke masa. Projek perumahan ini melibatkan 63 tingkat dan dijangka siap dalam masa tiga tahun,” katanya.
Selain itu, Nik Asmida berkata, sekiranya cuaca ribut dan hujan lebat, kerja-kerja projek perlu dihentikan sementara bagi mengambil kira faktor keselamatan.
Sementara itu, dia berkata, untuk menceburi pekerjaan sebagai operator menara kren, mereka yang berminat boleh memohon kursus daripada badan diiktiraf dengan kelayakan masuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf.
“Selalu orang cakap gaji tinggi kerja menara kren, sebenarnya tak pun. Tapi alhamdulillah, gaji itu mencukupilah. Walaupun tak macam 8 atau 10 tahun lalu, bolehlah dapat lima angka, tapi sekarang susah dah. Empat angka berserta OT (kerja lebih masa).
“Tapi kalau nak mencuba, apa salahnya. Cuma kerja begini memerlukan stamina kerana setiap hari perlu panjat tangga tinggi,” katanya.
Nik Asmida berkata, sepanjang pengetahuannya, hanya beberapa individu wanita bekerja dalam bidang berkenaan dan ada juga telah berhenti selepas mendirikan rumah tangga.
“Sejujurnya kerja ini memang tidak sesuai dengan perempuan dan saya pun tidak bercadang kekal lama sebagai operator menara kren. Saya mahu kumpul modal dahulu, mungkin satu hari nanti saya buka semula restoran.
“Sebelum buka restoran, saya pernah bekerja kilang. Saya anggap semua yang jadi dalam hidup ini sebagai pengalaman. Dari situ kita belajar dan teruskan hidup,” katanya.














