fbpx

Malaysia, Singapura sepakat iktiraf Sijil Vaksinasi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin (kiri) ketika mengadakan pertemuan rasmi secara bersemuka dengan Vivian di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan untuk memperhalusi usaha ke arah mengiktiraf Sijil Vaksinasi Covid-19 di negara masing-masing bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

Perkara itu antara yang diputuskan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya, Dr. Vivian Balakrishnan dalam pertemuan di Putrajaya hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, perincian operasi Pengiktirafan Pensijilan Vaksinasi Timbal Balik (Reciprocal Recognition of Vaccine Certificate) antara Malaysia dan Singapura akan dibincangkan dan dimuktamadkan oleh kedua-dua belah pihak.

Kedua-dua menteri berkata, butiran untuk pensijilan itu termasuklah keperluan terperinci, protokol kesihatan dan proses permohonan bagi urusan keluar masuk Malaysia dan Singapura.

“Pada masa sama, Malaysia dan Singapura mengulangi komitmen untuk memulihkan perjalanan rentas sempadan secara berperingkat untuk kumpulan pelancong lain antara kedua-dua negara berkenaan sebagai tambahan kepada skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Ia dengan mengambil kira situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan Singapura dan memastikan kesihatan awam dan keselamatan penduduk di kedua-dua negara terjamin,” katanya.

Hishammuddin dan Vivian berkata, kedua-dua negara juga akan terus memperkasa pelaksanaan program pelalian di negara masing-masing untuk memberi vaksin Covid-19 kepada penduduk Singapura yang tinggal di Malaysia dan rakyat Malaysia di republik itu.

Dalam hal itu, kedua-dua menteri menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama yang saling memanfaatkan negara dalam mengatasi cabaran yang timbul susulan pandemik Covid-19.

“Ia termasuklah menyambung semula pergerakan orang ramai sambil menjaga kesihatan awam dan keselamatan penduduk di kedua-dua negara,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI