fbpx

Bekas Pengerusi MCPF, penceramah berkomplot pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur, Bok Siew Mun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pecah amanah wang milik Dana Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia berjumlah RM195,000, dua tahun lalu.

Sementara itu, penceramah Pencegahan Jenayah, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, 51, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Siew Mun, 48, melakukan kesalahan itu.

Siew Mun dan Saiful Hamiruzzaman membuat pengakuan masing-masing selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim-Hakim Datin Sabariah Othman dan Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan di hadapan Hasbullah, Siew Mun yang ketika itu Pengerusi MCPF Kuala Lumpur didakwa pecah amanah dana yayasan itu dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada Trio Green Hornet Sdn Bhd.

Sementara di hadapan Sabariah, Saiful Hamiruzzaman dituduh bersubahat dengan Siew Mun melakukan kesalahan sama dengan mengemukakan invois milik sebuah syarikat dan menandatangani baucar bayaran yayasan berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad, cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini antara 26 Februari dan 31 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala tuduhan bersubahat di bawah Seksyen 109 kanun yg sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Vignesh Kumar.

Mahkamah membenarkan permohonan Afiq Nazrin agar kedua-dua tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin. Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 30 April ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI