fbpx

KSM arah JKKP siasat punca kejadian kren jatuh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan struktur besi yang terjatuh di kawasan pembinaan lebuh raya pagi tadi.

PUTRAJAYA – Sepasukan pegawai penyiasat daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diarahkan menjalankan siasatan komprehensif bagi mengenal pasti punca kejadian struktur kren jatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, siasatan itu juga dibuat untuk menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan sebarang aktiviti kerja di kawasan tersebut bagi tujuan siasatan.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalan majikan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Awang berkata, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Katanya, ia bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Selain itu, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan di dalam industri pembinaan termasuklah klien, pereka bentuk dan kontraktor memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan,” jelasnya.

Sementara itu, Awang berkata, kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan.

Katanya, kementerian menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini termasuk di dalam sektor pembinaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI