PETALING JAYA – Majikan dalam pelbagai sektor ketika ini hanya mampu menawarkan pekerjaan dengan upah yang rendah kepada graduan bagi membolehkan perniagaan mereka kekal beroperasi ketika mengharungi badai pandemik Covid-19.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, banyak perniagaan menutup operasi ketika ekonomi yang tidak menentu.

Katanya, statistik Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial sepanjang tempoh Januari hingga November tahun lalu merekodkan seramai 99,969 orang telah kehilangan pekerjaan.
“Angka ini dijangka terus meningkat. Majikan kini terpaksa membekukan pengambilan pekerja, mengecilkan operasi dan memotong gaji.
“Jika ada pun tawaran pekerjaan pada gaji lebih rendah yang dibuat secara kontrak,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya, sebagai contoh, ramai majikan dalam sektor perhotelan, pelancongan dan penerbangan membuat pemotongan gaji atau membuang pekerja.

Menurut Shamsuddin, apa sahaja peluang pekerjaan yang ada ketika ini perlu diisi dengan segera oleh graduan.
“Agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan setaraf dengan kelayakan akademik ketika ini,” katanya.
Ujar Shamsuddin, kekosongan kerja ketika ini banyak dalam bidang pertanian dan perladangan ekoran peningkatan harga komoditi seperti kelapa sawit.
“Ada 40,000 kekosongan dalam bidang itu. Walaupun ia tidak begitu digemari kerana mencabar, tetapi bidang ini menawarkan gaji lumayan,” katanya.
Terdahulu, kata beliau, data MEF pada 2019 menunjukkan tangga gaji bagi graduan diploma tanpa pengalaman kerja sekitar RM1,755, ijazah RM2,484, ijazah kepujian RM2,730 dan ijazah sarjana RM3,379.
Untuk rekod, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad pada tahun lalu berkata, dianggarkan 75,000 daripada 300,000 graduan sukar mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian kerana Covid-19.
Kajian kementerian menunjukkan, 41,161 graduan pada tahun sebelumnya masih belum dapat kerja dan dengan unjuran 75,000 lagi graduan tahun lalu, maka dianggarkan 116,161 graduan perlu diberi perhatian tentang kebolehpasaran mereka.
Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Jalilah Baba berkata, isu berhubung kurang peluang pekerjaan dan tawaran gaji rendah tidak dapat dielakkan ketika ini.
“Langkah terbaik ialah melanjutkan pelajaran. Sebaik habis belajar, keadaan ekonomi kembali pulih dan graduan boleh mempunyai gaji setimpal dengan kelayakan akademik,” katanya.
Tambahnya, cara lain ialah graduan jadi usahawan dan mencipta kemahiran tertentu yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.














