fbpx

K2

Obor-obor pembunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANAGIHARA menjalankan kajian bagi mencari punca bagaimana sengatan obor-obor kotak boleh membawa maut ke atas manusia.

SUASANA di Pantai Dalahican, sebuah pantai popular yang terletak di Pulau Luzon, Filipina lewat petang itu tenang dengan deruan angin sepoi-sepoi bahasa.

Puluhan individu dilihat begitu gembira menikmati cuti musim panas mereka dengan berbaring di atas pasir-pasir halus sambil menjemur tubuh di bawah sinaran mentari.

Ketenangan tersebut tiba-tiba bertukar menjadi kecoh selepas jeritan cemas seorang wanita meminta tolong bergema di ruang udara sambil mengendong kanak-kanak lelaki berumur 18 bulan.

Di celah kaki kanak-kanak tersebut, kelihatan juntaian tentekal obor-obor yang melekat pada kulit menandakan kanak-kanak itu disengat.

Saksi di tempat kejadian yang enggan dikenali berkata, tiada apa yang mampu dilakukan oleh keluarga mangsa pada waktu itu melainkan memeluk erat tubuh kecil tersebut sambil meraung.

“Wajahnya pucat dan badannya terkulai layu. Kami tidak mampu melakukan apa-apa.

“Sejurus pasukan kesihatan tiba di pantai, mereka mengesahkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Prince Gabriel Mabborang mati akibat sengatan berbisa obor-obor kotak,” katanya.

Kematian kanak-kanak malang itu akibat serangan hidupan air paling berbisa di dunia bukanlah pertama kali berlaku.

Sebaliknya, Prince Gabriel Mabborang merupakan kanak-kanak ketiga mati akibat sengatan obor-obor di lokasi sama pada cuti musim panas tahun 2018.

SENGATAN daripada tentakel obor-obor kotak mampu meragut nyawa manusia jika lambat menerima rawatan.

Pada tahun sebelumnya, suami kepada seorang ahli biologi marin, Shannon Leone Fowler menerima nasib sama selepas dia mati akibat disengat obor-obor kotak ketika bercuti di sebuah pantai di Koh Samui, Thailand.

Jika dibandingkan dengan isu kesihatan awam dunia, sengatan obor-obor sering dilihat isu remeh biarpun ia menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Mengambil contoh, satu kajian yang dijalankan di Thailand mendapati, masyarakat di kawasan tersebut tidak percaya sengatan daripada obor-obor kotak mampu menyebabkan kematian.

Justeru, kekurangan pendedahan dan pengetahuan mengenai perkara itu menyebabkan mereka gagal menghulurkan bantuan ketika individu disengat haiwan berbisa itu.

Menurut Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) Amerika Syarikat (AS), gigitan haiwan yang dikenali sebagai box jelly fish (obor-obor kotak) kerana bentuk badannya berkotak itu boleh menyebabkan individu menjadi lumpuh, mengalami serangan jantung dan bahkan kematian beberapa minit selepas disengat.

Setiap ekor obor-obor kotak mempunyai 15 tentakel tebal dan berbulu. Masing-masing menyimpan ribuan sel dikenali sebagai nematocyst dan dapat ‘menembak’ dengan kelajuan lebih dari 60 kilometer sejam.

Sebilangan besar daripada 4,000 spesies obor-obor hanya menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan ketika menyengat manusia.

PAPAN tanda amaran serangan obor-obor kotak dipasang
di pesisiran pantai di Koh Samui , Thailand bagi mengingatkan pelancong supaya lebih berhati-hati ketika berada di pantai.

Bagaimanapun, hanya obor-obor kotak yang kebanyakannya menghuni lautan tropika di seluruh dunia boleh membawa maut.

Walaupun obor-obor berada di perairan pantai yang hangat di seluruh dunia, namun spesies yang membawa maut hanya terdapat di wilayah Indo-Pasifik dan Australia Utara.

Selepas tiga minggu kematian Prince Gabriel Mabborang, pegawai kesihatan Lucena mengundang seorang saintis, Dr. Angel Yanagihara ke pantai tersebut bagi membuat kajian dan mencari kaedah menyelamatkan mangsa sengatan obor-obor.

Dilahirkan di Alaska, AS, wanita itu tidak pernah merancang untuk belajar mengenai obor-obor.

Bagaimanapun, beliau berjaya memperoleh Ijazah Kedoktoran Falsafah daripada Universiti Hawaii, AS, bagi penyelidikan mengenai ion selular dan obor-obor selepas nyawanya hampir diragut selepas disengat obor-obor pada tahun 1997.

Menurut bekas Pengarah Unit Penyelidikan Venom Australia dari Universiti Melbourne, Kenneth Winkel, setakat ini hanya lima kumpulan penyelidikan sahaja yang mengkaji racun obor-obor kotak di seluruh dunia.

“Pakar-pakar lain lebih suka menumpukan perhatian kepada masalah kesihatan awam yang lebih besar walaupun Yanagihara berjaya menunjukkan kematian akibat sengatan obor-obor laut juga tinggi.

“Justeru, Yanagihara dan beberapa rakan dan pesaing berjuang mengkaji ancaman, mengembangkan keadaan pemulihan dan mendidik masyarakat mengenai obor-obor,” katanya.

WALAUPUN obor-obor banyak terdapat di perairan pantai yang hangat di seluruh dunia, namun spesies yang membawa maut hanya terdapat di Indo-Pasifik dan Australia Utara.

Dalam pada itu menurut Yanagihara, obor-obor kotak memiliki ciri-ciri unik dan berbeza daripada obor-obor lain.

“Obor-obor kotak akan berenang paling laju berbanding obor-obor lain apabila mendekati sesuatu objek sehingga yang lain melayang mengikut arus.

“Obor-obor kotak juga dapat dilihat dan mempunyai mata di setiap sisi kotaknya. Sebilangan mata ini sangat canggih dengan lensa dan kornea dan dapat memberi tindak balas dalam cahaya terang,” terangnya.

Ceritanya lagi, dalam beberapa konteks racun obor-obor kotak boleh menyebabkan sindrom Irukandji.

Sindrom itu membuatkan individu yang disengat akan memiliki lebihan hormon stres dan protein keradangan.

Ini menyebabkan rasa sakit serta mual selama berhari-hari, selain tekanan darah tinggi yang boleh menyebabkan pendarahan serta kematian otak.

“Biasanya kebanyakan individu yang mati beberapa minit selepas disengat adalah disebabkan serangan jantung.

“Menerusi hipotesis yang dijalankan 20 tahun lalu mendapati, sengatan daripada obor-obor kotak telah menyebabkan penyumbatan dan penutupan sel-sel saraf serta otot sehingga memberhentikan fungsinya untuk mengepam darah ke jantung,” katanya.

Hasil daripada kajian yang dilakukan, Yanagihara menemui teorinya tersendiri dan menamakannya sebagai teori medan bersatu.

“Racun yang terdapat dalam obor-obor kotak mengandungi protein yang menembusi sel darah merah dan melepaskan kalium. Keadaan tersebut menyebabkan sistem tubuh terganggu dan seterusnya jantung berdegup lebih kencang.

“Ujian ini dilakukan mengikut prosedur standard mengkaji racun obor-obor dengan melarutkan tentakelnya di dalam air bagi membebaskan nematisista dan memecahkannya bagi membebaskan racun.

“Sel telur yang belum matang kemudian didedahkan pada racun bagi mengukur pergerakan ion menggunakan teknik elektrofisiologi,” katanya.

Kajian yang dilakukan Yanagihara bagi mencari punca racun yang menyebabkan kematian manusia, bagaimanapun gagal.

Mengambil petunjuk daripada kajian sekitar tahun 1970-an, dia mengembangkan kaedah baharu yang menggunakan sitrat dan sebatian berasid bagi melepaskan nematocyst.

Hasilnya Yanagihara mendapati, racun tersebut bukan hanya menyekat saluran ion, tetapi banyak porin iaitu protein yang menembusi sel dan menyebabkan kandungannya bocor.

Yanagihara mengesyaki hemolisis iaitu pemusnah sel darah merah oleh porin berkemungkinan merupakan mekanisme maut.

Begitupun, kaedah mencurah cuka pada sengatan obor-obor kotak dikatakan antara kaedah berkesan dalam menyelamatkan nyawa, selain menanggalkan tentakel yang melekat pada kulit.

Biarpun cuka bukanlah penyembuh bagi sengatan, namun kaedah itu mampu mengurangkan kesan racun dan kesakitan.

Jika ia digunakan dengan pantas, individu mungkin masih bernafas ketika tiba di hospital untuk rawatan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI