fbpx
Muhamad Fauzi memeriksa asrama pekerja asing di pusat pengumpulan sayur-sayuran dalam Operasi Task Force Pematuhan Penginapan di bawah Akta 466 di Blue Valley hari ini. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

Hanya 12 majikan di Cameron Highlands mohon perakuan penginapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS – Sikap sambil lewa dan gemar berlengah merupakan antara faktor penyebab majikan yang menggajikan pekerja warga asing di sini tidak memohon untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd. Ghani berkata, ini dibuktikan apabila hanya 12 daripada 1,007 majikan di kawasan tanah tinggi itu yang baru memohon perakuan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Katanya, permohonan perakuan untuk penginapan 6,912 pekerja warga asing itu dilakukan secara dalam talian dan kini dalam proses kelulusan.

“Kebanyakkan syarikat dan majikan di sini yang menggajikan pekerja warga asing masih belum memohon perakuan penginapan.

“Kita minta mereka agar tampil untuk mendapatkan perakuan tersebut dan tidak sepatutnya mereka tidak tahu mengenai peraturan di bawah Akta 446 itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di sebuah pusat pengumpulan sayur Blue Valley di sini hari ini.

Dalam operasi itu, lebih 80 pekerja warga asing didapati tinggal bersesak dalam 24 bilik yang disediakan majikan.

Mengulas mengenai operasi tersebut, beliau berkata, pemeriksaan mendapati, persekitaran asrama tersebut tidak kondusif sebagai penginapan kerana kotor, siling bocor, ruang bilik yang kecil namun menempatkan lebih penghuni serta pendawaian elektrik yang tidak tersusun.

Katanya, penginapan pekerja juga didapati tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Apabila kita buat operasi di sini, didapati pihak syarikat masih belum memohon perakuan penginapan sekaligus telah melanggar Akta 446.

“Pihak majikan akan dipanggil untuk diambil keterangan dan jika ada kesalahan maka kertas siasatan akan dibuka dan seterusnya dikenakan tindakan pendakwaan atau kompaun,”katanya. – K! ONLINE