fbpx
Pasukan mencari dan menyelamat sedang meneruskan operasi di Sungai Nenggiri, Gua Musang petang ini.

Remaja lemas dihanyut arus Sungai Nenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Keriangan 20 sekeluarga berkelah di tepi Sungai Nenggiri, Kampung Pulau Setelu di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri mati lemas petang semalam.

Mangsa, Nur Jannatul Alia Mohd. Zamri, 13, kini masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai kampung itu.

Bagaimanapun, sewaktu kejadian, kakak mangsa, Nur Ain, 16, bersama sepupunya Nur Asma Kamaruddin, 14, sempat diselamatkan ketika turut dihanyutkan arus.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika keluarga terbabit menaiki tiga bot untuk ke tebing pasir tidak jauh dari kampung itu untuk berkelah dan mandi-manda.

Datuk mangsa, Zulkply Seman, 55, berkata, ketika keluarga lain sedang menjamu selera, tiga remaja itu telah turun ke sungai untuk mandi di kawasan air cetek.

Katanya, dia yang sedang berehat di bawah pokok kayu di tebing sungai itu tiba-tiba terdengar jeritan laungan meminta tolong apabila mereka dihanyutkan arus.

“Saya bergegas turun dan sempat menyelamatkan dua cucu, namun tidak sempat menyelamatkan Nur Jannatul Alia apabila dia terus hilang dihanyutkan arus deras.

“Saya yang berada di dalam sungai juga telah mencari di sekitar kawasan dia mandi, namun Nur Jannatul Alia tidak timbul selepas beberapa minit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima laporan mengenai kejadian itu petang semalam.

Katanya, operasi yang dihentikan 7 petang semalam disambung semula pagi ini dengan melibatkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Sehingga petang ini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi masih diteruskan sekitar lokasi kejadian.

“Lima bot agensi kerajaan dan lima bot penduduk kampung digunakan dalam operasi itu,” katanya. – K! ONLINE