fbpx

Riuhkan segera Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD TURMADZI MADUN, PENGARANG BERITA KOSMO.

Kerajaan wujud kerana rakyat. Tanpa kritikan rakyat, kerajaan tidak boleh memacu negara dengan hebat.

Oleh sebab itu maka wujudlah pembangkang. Barulah kepimpinan itu seimbang. Dalam sistem demokrasi, kedua-dua pihak ini sering menjadi tumpuan terutama ketika Sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Bagi yang sering mengikuti perjalanan secara langsung perbahasan di Dewan Rakyat, dia akan kenal siapa yang ‘popular’. Jangan silap beri bola tanggung, siaplah nanti.

Nama-nama seperti Jelutong, Pekan, Bagan, Pokok Sena, Pontian, Kinabatangan, Pasir Salak dan Tanjung Karang (sekadar menyebut sebahagiannya) seakan sudah sebati dengan pemerhati.

Mereka ini boleh dikatakan penyeri dewan yang mulia itu.

Walaupun Langkawi, Pasir Gudang, Jerlun dan Gombak sesekali menyelit, namun pedas. Pagoh pula muncul pada masa tertentu sahaja.

Drama diarahkan keluar dewan kerana mengingkari Speaker pula menjadi selingan untuk sesi perdebatan.

Ahli Parlimen ini majikannya adalah rakyat. Jika bukan kerana tangan yang memangkah kertas undi, jangan harap nak merasa berdebat di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Sebab itu, apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Parlimen boleh bersidang pada bila-bila masa ketika tempoh proklamasi darurat, ramai yang menarik nafas lega mengenai berita itu.

Ia merupakan isyarat menandakan masa honeymoon Ahli Parlimen sudah hampir tamat. Namun, penulis yakin ramai juga wakil rakyat yang tidak sabar untuk ke Parlimen. Terlalu banyak benda yang ingin diperdebatkan dari hal pengurusan negara hinggalah kepada pembekalan vaksin.

Memang benar isu vaksin sudah diterangkan kerajaan melalui lisan Yang Berhormat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, namun ia hanya penjelasan sebelah pihak sahaja.

Jika ada persoalan pun ia akan dijawab di Twitter atau kenyataan media. Bagi penulis, ia kurang ‘ummph’ kerana tiada debat. Tiada soal jawab. Tiada pertikaman lidah.

Paling tidak kita mahu dengar idea Pekan di atas tiket pembangkang mengenai pelbagai tindakan kerajaan yang tidak kena pada pandangan matanya selaku bekas Perdana Menteri.

Jangan handal di media sosial sahaja tetapi bawalah segala persoalan rakyat ke pihak kerajaan.

Untuk hal itu, penulis berterima kasih kepada Pekan kerana cadangannya supaya Kumpulan Simpanan Wang Pekerja membenarkan pencarumnya mengeluarkan RM10,000 telah membuatkan ramai yang terkesan akibat Covid-19 kembali bernafas.

Maka tidak hairanlah beliau menjadi pilihan 608 responden untuk kembali menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9 melalui kaji selidik yang dijalankan oleh Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia baru-baru ini.

Apa yang pasti, kita harap Parlimen tidak lagi sepi selepas ini. Berbahaslah dengan bijaksana demi kepentingan bersama.

Jangan jadi ahli politik yang hanya pandai bercakap kerana ia hanya membuatkan politikus semakin tidak digemari golongan muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI