fbpx

Serbuan ke rumah Jufazli ikut peruntukan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman menunjukkan serbuan telah diketuai pegawai polis di kediaman Jufazli pada 26 Februari lalu.

PETALING JAYA – Polis Selangor menafikan dakwaan menyerbu ke kediaman bekas ahli DAP dari Sabah, Jufazli Shi Ahmad, 32, atau Jufazli di Bukit Segar, Cheras pada 26 Februari lalu dilakukan tidak mengikut undang-undang.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 4 minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang individu dikenali Jufazli yang mempertikaikan tindakan polis yang hadir ke kediamannya tanpa waran tangkap.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, pihaknya menafikan dakwaan individu tersebut bahawa pihak polis menjalankan serbuan dengan tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya tegaskan bahawa tindakan yang dijalankan oleh pasukan serbuan adalah mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa-kuasa menyiasat yang telah ditetapkan.

“Tindakan rampasan dan penggeledahan itu dilakukan mengikut Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggeledahan dan penyitaan tanpa waran oleh seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor,” ujarnya di saluran YouTube Channel milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Mengulas berkenaan serbuan, jelasnya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah melakukan serbuan ke kediaman Jufazli pada 26 Februari lalu kira-kira pukul 3 pagi.

“Serbuan tersebut dilakukan bagi mengesan seorang individu dikenali Jufazli bagi membantu siasatan. Namun sejak kes ini dilaporkan, dia masih lagi gagal untuk tampil berjumpa dengan Pegawai Penyiasat walaupun telah dipanggil beberapa kali.

“Pada malam kejadian juga, pihak polis telah berada kira-kira 30 minit di hadapan pintu rumahnya, bagaimanapun dia masih lagi gagal untuk memberikan kerjasama walaupun polis telah memperkenalkan diri dengan secukupnya,” ujarnya.

Menurut beliau, keengganannya memberikan kerjasama menyebabkan polis tiada pilihan lain selain terpaksa menyerbu masuk ke kediaman itu bagi memastikan siasatan dan pemeriksaan mengesan barang-barang kes berkaitan dapat dilakukan.

Katanya, pihaknya mengesyaki kemungkinan barang-barang kes yang berkaitan telah dilenyapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 233 Akta komunikasi dan Multimedia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI