fbpx
Md. Nur dijatuhi penjara sehari dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah memberikan suapan RM5,000 kepada anggota polis berpangkat Sarjan Mejar

‘Selagi di Malaysia, patuh undang-undang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Perbuatan seorang buruh warga Bangladesh memberi suapan kepada anggota polis berpangkat Sarjan Mejar (SM), tahun lalu mendapat teguran keras daripada Hakim Mahkamah Sesyen hari ini yang mahu undang-undang perlu dipatuhi sepanjang berada di negara ini.

Tertuduh, Md. Nur Islam, 33, dijatuhi penjara sehari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa Bangladesh di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mahkamah turut memerintahkan denda sebanyak RM12,000 atau berdepan empat bulan penjara sekiranya gagal membayarnya. Selain itu, barang kes iaitu wang bernilai RM5,000 diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dilupuskan hak.

Rozilah dalam penghakimannya menasihatkan bapa kepada seorang anak itu untuk tidak mengulangi perbuatannya lagi.

“Ini satu kesalahan serius apabila penguat kuasa telah memberikan amaran ini adalah rasuah tetapi kamu tetap bagi.

“Kamu sudah 14 tahun ( berada di Malaysia). Selagi ada Malaysia kena patuh undang-undang dan jangan buat jenayah,” tegas beliau.

Mengikut pertuduhan pilihan, Md. Nur didakwa telah memberi suapan wang tunai RM5,000 kepada seorang anggota polis berpangkat SM yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Suapan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dua rakannya yang ditahan atas kesalahan memiliki rokok seludup di bawah Seksyen 135 (1) (d) (i) Akta Kastam 1967 yang dilakukan di IPD Hulu Selangor pukul 9.20 malam pada 13 Mac 2020.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 bulan atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Sekyen 214 Kanun Keseksaan.

Peguam Rejinder Singh mewakili tertuduh memohon denda ringan dengan memberikan peluang kepada anak guamnya menyara seorang anak lelaki berusia lima tahun dan isteri selain tidak mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menegaskan ini melibatkan kepentingan awam dengan tertuduh telah melanggar undang-undang negara ini.

“Tertuduh sebagai warga asing harus menghormati undang-undang dan hantar mesej kepada tertuduh dan masyarakat bahawa sesiapa tidak seharusnya memberikan rasuah kepada mana-mana orang,” jelasnya. – K! ONLINE.