fbpx

Mahkamah tolak rayuan NFCorp, Mohamad Salleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan National Feedlot Corporation (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail berhubung saman fitnah mereka terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zazawi Salleh dan bersidang bersama-sama Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal sebulat suara memutuskan demikian selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman ringkas yang dibacakan oleh Hakim Harminder, panel terbabit menyatakan tiada sebarang alasan yang ditemukan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mengganggu dapatan yang dibuat oleh mahkamah terdahulu.

Ujar panel itu, mahkamah terdahulu tidak terkhilaf apabila memutuskan responden (Nurul Izzah dan PKR) berjaya membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat mempunyai justifikasi.

“Perayu (NFCorp dan Mohamad Salleh) mendakwa wang sebanyak RM71.4 juta tidak memainkan sebarang peranan dalam tawaran pinjaman bagi pembelian lapan unit kondomiium itu.

“Berdasarkan keterangan dalam perbicaraan kes itu, bukanlah satu kebetulan bahawa pinjaman diberikan oleh bank yang sama di mana wang tersebut didepositkan.

“Oleh itu, alasan logik yang boleh difikirkan ialah wang tersebut didepositkan ke dalam akaun di Public Bank bagi menunjukkan kepada bank itu keupayaan untuk membayar balik pinjaman. Perayu pertama (Mohamad Salleh) juga gagal menunjukkan sebarang bukti kemampuan kewangannya untuk membeli unit-unit kondominium itu,” ujar Hakim Harminder.

Mahkamah kemudian memerintahkan syarikat itu dan Mohamad Salleh yang  membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Nurul Izzah dan PKR.

Dalam prosiding itu, perayu  diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Nurul Izzah dan Saifuddin diwakili peguam bela, Razlan Hadri.

Pada 24 Disember 2013, Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan Saifuddin yang disaman atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung PKR ketika itu yang telah mengeluarkan kenyataan berhubung pendedahan oleh Pengarah Strategik PKR ketika itu, Mohd. Rafizi Ramli selaku yang mendakwa Mohamad Salleh melakukan penyelewengan dana syarikat untuk membeli kondominium mewah itu.

Pada 10 Julai 2017, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 4 Mac  2016 yang menolak saman mereka terhadap Nurul Izzah dan PKR selepas mendapati bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak memfitnah Mohamad Salleh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI