fbpx
Anggota bomba memadamkam kebakaran empat premis di bandar Jerantut hari ini.

Empat  bangunan sebelum perang dunia kedua musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

JERANTUT 28 – Empat buah bangunan lama berusia lebih 80 tahun di bandar ini musnah dalam kejadian kebakaran hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jerantut, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, kejadian kira-kira pukul 3.16 petang itu memusnahkan tiga lot premis yang dibina pada 1941 dan sebuah premis yang dibina pada 1947.

“Bangunan yang terlibat ialah sebuah restoran roti canai popular, kedai gunting rambut, kedai runcit dan kedai basikal.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,”katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Zulkifli, kebakaran dipercayai bermula daripada restoran roti canai sebelum merebak ke kedai bersebelahan.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang saksi Liang Kok Poh berkata, dia terkejut apabila melihat asap bermula dari kedai roti canai ketika menghantar barangan di kedai runcit berkenaan.

“Saya sempat membantu mengeluarkan beberapa barangan daripada kedai runcit sambil menjerit meminta penghuni kedai lain keluar menyelamatkan diri,”ujarnya. – K! ONLINE