fbpx

Derita bayi lahir dengan otak luar tempurung kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAYYID UWAIS ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Hampar, Manir semalam.

KUALA TERENGGANU – Ibu mana yang tidak sayu melihat penderitaan bayi lelakinya yang dilahirkan dengan keadaan otak di luar tempurung kepala.

Tambah merisaukan Fatin Haz­lin Dahlia Mazlam, 29, ialah anak ketiganya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman berusia 41 hari yang dipanggilnya Adam turut menghidap penyakit saraf.

“Adam disahkan mengalami lumpuh dari bahagian pinggang, mempunyai lebihan air di dalam kepala dan otaknya terkeluar daripada tempurung kepala.

“Dia sudah jalani pembedahan di bahagian belakang bagi betulkan saraf tunjangnya yang ­bermasalah sewaktu berusia tujuh hari baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Batu Hampar, Manir dekat sini semalam.

Fatin Hazlin Dahlia akui men­getahui Adam bakal dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) sewaktu melakukan pemeriksaan rutin kehamilan sejak janin itu berusia empat bulan lagi.

Begitupun ibu kepada tiga anak itu menjelaskan enggan mengikut nasihat doktor pakar agar menggugurkan kandungan tersebut kerana dia dan suami tidak tergamak untuk menidakkan kurniaan Allah.

“Saya dan suami menganggap Adam yang dilahirkan secara normal dengan berat 2.48 kilogram pada 13 Januari sebagai ujian buat kami.

“Walaupun apapun terjadi, kami akan berusaha menjaganya dengan penuh kasih sayang dan berharap dia dapat membesar dengan sihat seperti abang dan kakaknya yang masing-masing kini berusia empat dan enam tahun,” katanya.

Fatin Hazlin Dahlia yang merupakan suri rumah berkata, Adam telah dijadualkan untuk menjalani pembedahan kepala tidak lama lagi.

Ujarnya, selain kos pembedahan, kelengkapan Adam se­perti lampin pakai buang dan susu khas memerlukan biaya tinggi walaupun suaminya cuma be­kerja kampung.

Individu yang bersimpati dengan nasib Adam boleh ­menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 11001 41100 012525 milik Fatin Hazlin Dahlia atau boleh menghubungi di talian 011-6372 7869.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI