fbpx

Skim mySalam bayar tuntutan RM108 juta sejak diperkenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Anuar

PETALING JAYA- Skim perlindungan kesihatan B40, mySalam telah membayar RM108 juta tuntutan juta tuntutan membabitkan 80,389 rakyat golongan B40 sejak diperkenal pada Januari 2019.

Ketua Skim mySalam, Khairul Anuar Che Yeop berkata, RM11.5 juta dibayar dan 5,389 individu B40 telah dibantu pada 2019 manakala untuk tahun lalu, RM96.2 juta telah dibayar kepada 75,000 individu.

“Peningkatan tahun-ke-tahun yang mendadak sebanyak 733 peratus dari segi jumlah
tuntutan dibayar bagi tempoh 2019 hingga 2020 menunjukkan bahawa kesedaran umum akan skim ini telah meningkat selaras dengan tempoh pelaksanaan skim.

“Bagi liputan manfaat tuntutan Covid-19 pula, mySalam telah membayar sejumlah RM35 juta sehingga kini sejak manfaat tersebut diperkenalkan pada Mac 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, syarikat Great Eastern Takaful Berhad selaku pengelola skim sedang membuka kios mySalam di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara bagi membolehkan pengisian borang dan perkhidmatan bantuan tuntutan kepada mereka yang layak.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan semua yang layak untuk mendapat bantuan terutamanya bagi mereka yang ingin membuat tuntutan, dapat dibantu melalui pelaksanaan skim ini.

“Kita hendak bantu mereka yang terkesan dengan cabaran pada mutakhir ini pada saat ia amat diperlukan,” jelas beliau.

Setakat ini, terdapat seramai enam juta rakyat Malaysia layak menerima bantuan mySalam.

Di bawah skim mySalam, sebanyak RM8,000 dibayar tunai apabila penerima mySalam didiagnos dengan satu daripada 45 penyakit kritikal yang dilindungi.

Manakala bagi mereka yang dimasukkan ke wad hospital kerajaan, tentera atau universiti layak menerima elaun gantian pendapatan sebanyak RM50 sehari, sehingga maksimum RM700 setahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI