fbpx

Nelayan PD tuntut pampasan ke atas Projek MIF2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Zulkifli Mohd. Taib (tengah) bersama sebahagian ahli Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson menunjukkan memorandum bantahan terhadap pembangunan projek MIF2 di perairan Port Dickson dalam sidang akhbar di Taman Mikamas, Port Dickson hari ini.

PORT DICKSON – Nelayan-nelayan di Port Dickson menyuarakan bantahan terhadap pembangunan projek Kemudahan Import Marin 2 (MIF2) di perairan Port Dickson yang dipercayai telah dimulakan sejak sebulan lalu.

Bantahan tersebut atas alasan projek berkenaan dilihat akan menjejaskan pendapatan nelayan kerana ia akan menyebabkan kawasan aktiviti perikanan menjadi semakin sempit dan kecil.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Mohd. Zulkifli Mohd. Taib berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak Petron Refinery berkenaan hal tersebut termasuk berkaitan pampasan terhadap nelayan namun tiada keputusan positif.

“Projek ini akan menyebabkan kawasan penangkapan ikan terganggu termasuk peralatan menjaring ikan tersangkut dan dilanggar kapal yang melalui kawasan terbabit. Kami akan mengalami kerugian yang tinggi, lebih-lebih lagi perairan Port Dickson ini kawasan yang sempit kesan daripada kemusnahan itu merosakkan struktur dasar laut.

“Kami bergantung sepenuhnya ke atas sumber laut dan tentunya punca pendapatan terjejas kerana sumber tangkapan terancam. Pemasangan paip-paip di dasar laut merosakkan struktur dasar laut, proses berkenaan juga menyebabkan sisa toksik dan gas ammonia keluar dari dasar laut yang telah mendap,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum Persatuan Nelayan Port Dickson kepada pihak Petron Refinery ke atas projek MIF2 di Taman Mikamas dekat sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Zulkifli memberitahu, baru-baru ini pihaknya dimaklumkan tentang tiada sebarang pampasan atau imbuhan ganti rugi daripada pihak Petron Refinery kepada pihak nelayan berikutan pelaksanaan projek berkenaan.

“Dua minggu lalu, pihak Petron Refinery ada memaklumkan secara bersemuka dengan pihak persatuan bahawa mereka tidak dapat membayar pampasan kepada nelayan sebaliknya hanya mampu menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti membantu nelayan dan mengecat bangunan.

“Nilai pampasan yang kami minta adalah sebanyak RM6.5 juta, ia tidak begitu banyak kerana lokasi projek tersebut boleh menjejaskan pendapatan nelayan selama-lamanya, kami harapkan jika mahu diteruskan projek ini perlu ada situasi menang-menang di antara kedua-dua belah pihak,” katanya yang memberitahu seramai 362 ahli Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson dijangka terjejas dengan projek berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Zulkifli memaklumkan, pihaknya juga ada mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berkenaan isu ini namun belum ada apa-apa perkebangan

“Pihak persatuan juga telah memaklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan masih menunggu maklum balas. Kami sedang menunggu mesyuarat kali kedua nanti bersama kerajaan negeri bagi mengetahui keputusan berkenaan projek ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI