fbpx

K2

Keberkesanan vaksin Covid-19 terbukti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERA Mahkota Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum menerima suntikan Covid-19 baru-baru ini.

SEPANJANG 12 jam Yousaf Khan menjual lampu kaca perhiasan di Pasar Old Souk, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dia gagal mendapat seorang pun pelanggan.

Pusat jualan yang sering menjadi tumpuan pelawat seberang laut mendapatkan cenderamata itu menjadi sunyi sepi disebabkan penyebaran pandemik Covid-19 ketika ini.

“Tiada ada seorang pun pelanggan. Tiada ada urusan jualan di sini hari ini,” ujar pemuda berusia 21 tahun berasal dari Afghanistan itu.

Kisah sedih dialami Yousaf Khan turut ‘menghantui’ puluhan kedai lain yang beroperasi di pasar tradisional paling popular di Asia Barat itu.

Bagaimanapun, sebulan sebelumnya pasar berkenaan sangat sibuk dan sesak dengan kedatangan pelawat terutamanya dari Britain.

Sebagai sebuah destinasi pelancongan popular, Dubai telah membuka pintu sempadannya pada akhir tahun lalu selepas mencatatkan penurunan kes jangkitan harian terendah iaitu ratusan kes.

Pada awal November lalu, Britain dan UAE telah membentuk gelembung perjalanan bagi membolehkan pelancong masuk ke Dubai tanpa menunjukkan keputusan ujian calitan Covid-19.

Menurut firma penyelidikan STR, kebenaran tersebut menyebabkan sekitar 500,000 pelawat dari Britain berkunjung ke Dubai bagi meraikan cuti Krismas dalam suasana panas.

Dianggarkan 71 peratus hotel di Dubai penuh dengan pelawat. Angka tersebut hampir meyamai kadar tempahan bilik semasa prapandemik iaitu sekitar awal tahun lalu.

Langkah membuka sempadan oleh pemerintah UAE ketika negara lain mengadakan dasar tertutup, Dubai terpaksa menanggung akibatnya apabila kes harian Covid-19 mencatatkan peningkatan mendadak.

Rentetan itu, UAE memperkenalkan banyak peraturan dan undang-undang kesihatan awam termasuk mengehadkan perjumpaan sosial dan hiburan secara langsung.

Undang-undang itu terpaksa dilaksanakan dalam usaha mengelakkan kapasiti katil di hospital penuh dengan pesakit Covid-19, sekali gus menghalang orang ramai mendapat rawatan penyakit lain.

SEORANG pekerja kesihatan bersedia untuk melakukan suntikan vaksin Covid-19 di tempat vaksinasi di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai pada 3 Februari lalu.

Pada masa sama, UAE memulakan program vaksinasi secara agresif dengan menetapkan sasaran 50 peratus penduduknya mendapat vaksin menjelang akhir Mac ini.

Ketika ini, dianggarkan 1.8 juta daripada 9 juta penduduk UAE telah mendapat vaksin Sinopharm yang dihasilkan oleh penyelidik China.

Vaksin diberikan secara percuma kepada semua penduduk UAE, sekali gus menjadikan negara kaya minyak itu sebagai salah satu negara peneraju program vaksinasi Covid-19.

Selepas program vaksinasi Covid-19 dilaksanakan, kadar jangkitan baharu virus dalam kalangan masyarakat di UAE telah mula menunjukkan penurunan ketara.

Menurut data yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, kes positif Covid-19 baharu di UAE pada Januari mencecah hampir 4,000 kes sehari sebelum menurun di bawah 3,000 kes sehari selepas program vaksinasi dilaksanakan.

Malah, kadar kematian di UAE juga antara yang terendah di dunia ketika ini iaitu sekitar 0.3 peratus disebabkan sebahagian besar penduduknya terdiri daripada golongan muda.

Hasil kajian pakar perubatan di UAE, individu yang mendapat suntikan vaksin Covid-19 mempunyai risiko penularan virus lebih rendah berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

Pakar perubatan di Pusat Perubatan Prime Medical Centre Dubai, Dr. Nivas Abobaker berkata, ia satu berita baik kerana dapat mengurangkan beban di pusat-pusat kuarantin.

“Ketika ini, masih belum jelas sama ada individu yang telah divaksinasi terdedah kepada jangkitan virus dan menyebarnya kepada orang lain. Kita kena tunggu sedikit masa lagi,” katanya.

Selain UAE, Israel juga aktif melakukan suntikan vaksin secara besar-besaran kepada rakyatnya sekali gus menjadikan ia negara paling aktif melakukan program vaksinasi di dunia ketika ini.

Israel menjadi contoh kepada negara-negara di dunia bagi mengetahui sejauh mana keberkesanan program vaksinasi terhadap penularan Covid-19.

Minggu lalu, penyedia perkhidmatan kesihatan terbesar di Israel melaporkan penurunan 94 peratus jangkitan Covid-19 kepada 600,000 orang yang menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer.

Kajian sama juga menunjukkan 92 peratus daripada 600,000 orang yang belum mengambil vaksin lebih mudah terkena jangkitan virus Covid-19.

Perbandingan tersebut dilakukan terhadap kumpulan yang sudah menerima vaksin dan belum yang mempunyai sejarah perubatan sepadan dan lingkungan umur hampir sepadan.

“Ini menunjukkan dengan jelas bahawa vaksin Covid-19 Pfizer sangat berkesan kepada manusia selepas mendapat dos. Keputusan ini sama dengan dapatan kajian klinikal,” ujar Ketua Pegawai Inovasi Clalit, Ran Balicer.

Menurut laporan portal The Times Israel, kadar jangkitan Coivd-19 berkurangan selepas warga emas mendapat suntikan pertama. Trend penurunan terus dicatatkan sehingga 60 peratus selepas mendapat suntikan vaksin kedua.

Pihak Meccabi Healthcare Service, Tel Aviv-Jaffra telah membuat penyelidikan secara terperinci terhad data pasca suntikan vaksin kepada 50,000 pesakit yang berumur 60 tahun ke atas.

Kumpulan berkenaan membandingkan kadar jangkitan baharu sebagai mendapat dos pertama pada Disember dan kedua pada Januari lalu.

“Kadar mula merosot pada hari ke-18 selepas suntikan dos pertama dan terus jatuh sehingga 60 peratus selepas mendapat suntikan kedua pada hari ke-23,” lapor kajian tersebut.

PUTERA Mahkota Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum (kiri) diberi penerangan oleh petugas kesihatan sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19, 3 November tahun lalu.

Laporan berkenaan menambah, data yang diperoleh daripada kumpulan senior tersebut sepadan dengan penemuan kajian dilakukan sebelum ini.

Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit di hospital terbesar di Israel, Sheba Medical Centre, Galia Rahav berkata, vaksin Pfizer dikembangkan dengan kerjasama BioNTech Jerman lebih efektif selepas dua minggu suntikan dos kedua.

Katanya, penemuan terbaharu itu sedikit sebanyak menunjukkan bahawa vaksinasi mempengaruhi kadar jangkitan kes Covid-19.

Sementara itu, Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit memaklumkan, pihak berkuasa persekutuan meningkatkan usaha untuk mengesan varian SARS-Cov-2 yang baharu muncul di seluruh dunia.

Usaha berkenaan dilakukan bagi memantau pengaruh varian vaksin Covid-19 terhadap virus-virus mutasi baharu seperti B.1.1.7 yang dipercayai berasal dari Britain.

Kesan positif pengambilan vaksin akan lebih ketara selepas lebih ramai rakyak di negara-negara besar mengambil vaksin seperti di Amerika Syarikat, Britain dan Indonesia.

Sehingga kini, kira-kira 150 juta vaksin diagihkan ke 75 negara di seluruh dunia dan vaksin Pfizer paling banyak digunakan, diikuti AstraZeneca, Moderna, SinoPharm, Sputnik V serta Sinovac.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI