fbpx

K2

‘Makmal’ buat aiskrim bekas jurugambar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYEFRI menunjukkan aneka aiskrim PopsLab yang ditawarkan olehnya ketika ditemui di rumahnya di Putrajaya baru-baru ini.

BERMULA dengan niat sekadar mencuba, bekas jurufoto akhbar, Syefry Moniz Mohd. Nizar, 46, tidak pernah menyangka bahawa dia mampu memiliki produk aiskrim sendiri.

Dikenali dengan jenama PopsLab, aiskrim air tangannya itu telah mula menjadi perhatian di serata Lembah Klang dan berapa negeri di Malaysia dengan menawarkan aneka perisa berasaskan susu, air berperisa hingga buah-buahan asli.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia mula terdetik untuk mencuba perusahaan membuat dan menjual aiskrim jenis ice pop itu selepas melihat beberapa hantaran iklan bengkel pembuatan aiskrim yang sering kali muncul di Facebook.

“Melibatkan diri dalam perusahaan pembuatan aiskrim bukanlah satu perancangan saya pada awalnya, namun selepas kerap melihat iklan di Facebook saya mula tertarik untuk mencuba dan membuat keputusan untuk mendaftar bengkel itu.

“Bermula dari situ, saya menjalankan perusahaan berkenaan secara separuh masa pada peringkat awal.

Namun, selepas permintaan semakin meningkat dan aiskrim PopsLab mendapat sambutan menggalakkan, saya membuat keputusan untuk menjalankannya secara sepenuh masa,” katanya ketika di temu bual K2 di kediamannya di Putrajaya baru-baru ini.

 

SYEFRY memasukkan aiskrim yang siap dibekukan ke dalam pembungkus menerusi alat inovasi sendiri.

 

Tambahnya, dia bermula dengan membuat aiskrim Malaysia pada Februari 2020 sebelum beralih kepada ice pop setelah berjaya mengumpul modal untuk membeli perkakasan dan mesin pembuatannya. Syefry beralih secara sepenuhnya kepada aiskrim ice pop pada September tahun lalu.

Sehingga hari ini, PopsLab mempunyai 16 varian aiskrim dengan pilihan daripada coklat, asam boi, bubblegum, jagung dan pelbagai pilihan perisa dan buah asli.

Semuanya dijual pada harga bermula dari RM 1 hingga RM3.

Jelasnya lagi, dia juga menerima tempahan istmewa untuk pelanggan yang inginkan campuran perisa.

“Penghasilan aiskrim PopsLab menjalani proses penyelidikan dan pembangunan sebelum ia dipasarkan. Malah, untuk perisa-perisa berasaskan buah, saya menggunakan buah-buahan asli agar pelanggan dapat menikmati keaslian rasa buah.

“Setakat ini penghasilan aiskrim boleh mencecah sehingga 600 batang sehari dan setiap perisa akan dibuat berdasarkan permintaan dan mengikut keperluan stok semasa.

“Setiap aiskrim boleh bertahan dalam peti sejuk beku selama tiga bulan,” kata lelaki berasal dari Klang, Selangor itu.

Tambahnya lagi, pembuatan aiskrim bermula dengan membuat bancuhan air gula dan campuran khas sebelum menambah perisa atau buah-buahan yang telah dihancurkan diikuti dengan menyejukkannya dalam sebuah mesin khas.

Beroperasi sepenuhnya di rumah, Syefry yang dibantu isterinya, Marina Ismail bukan sahaja menjual aiskrim PopsLab sendiri tetapi dia juga sudah menempatkan produknya di tiga buah kedai di Cheras, Shah Alam dan Taman Melawati.

Malah, dia juga mempunyai lapan orang ejen di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Biarpun masih baharu bertapak dalam industri perusahaan aiskrim, Syefry memberitahu, cabaran berdepan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mematahkan semangatnya untuk melebarkan sayap perniagaan.

 

SETIAP bancuhan dituang mengikut sukatan yang telah ditetapkan.

 

Syefry yakin bahawa jenama PopsLab mempunyai potensi dan pasarannya masih terbuka luas memandangkan tidak ramai pengusaha di Malaysia yang menghasilkan aiskrim jenis ice pop secara buatan sendiri (homemade).

“Sepanjang tempoh PKP, aiskrim PopsLab masih mempunyai permintaan. Ada juga pelanggan yang datang ke rumah, malah terdapat juga tempahan khas untuk aiskrim perisa-perisa tertentu.

“Saya akui ia merupakan satu cabaran buat perniagaan baharu untuk berdepan dengan pandemik Covid-19 tetapi masih ada cara untuk mengatasinya.

“Dalam perancangan akan datang, PopsLab akan mempelbagaikan lagi varian perisa termasuk jenis premium.

“Saya juga akan memperkenalkan perisa durian Musang King yang bakal menemui pelanggan tidak lama lagi,” ujar graduan Diploma Fotografi itu.

Layari Facebook Aiskrim PopsLab Putrajaya untuk makluman lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI