fbpx

Baling bom petrol, cemburu bekas kekasih temui cinta baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan terbakar di dinding dan rak kasut yang disebabkan bahan letupan bom petrol dibaling suspek dalam kejadian di Taman Melaka Baru, di sini, semalam.

MELAKA – Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak membaling bom petrol di rumah didiami bekas kekasih bersama-sama teman lelaki barunya di Taman Melaka Baru, Batu Berendam, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, suspek berusia 50 tahun dipercayai membaling bahan letupan itu di bahagian dinding luar rumah berkenaan sehingga menyebabkan rak kasut serta bumbung sebuah kereta jenis Honda Jazz terbakar.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian disedari pengadu lelaki berusia 49 tahun selepas terdengar bunyi letupan kuat di bahagian hadapan rumah dan bergegas keluar untuk memeriksa keadaan.

Katanya, pengadu bagaimanapun menjumpai satu botol kaca yang mengandungi minyak petrol dipercayai merupakan bom petrol sebelum membuat laporan polis pada pukul 7.45 malam.

“Sepasukan anggota telah ke lokasi dan mendapati terdapat kesan terbakar di rak kasut serta bumbung kenderaan yang diparkir di dalam kawasan rumah.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai kesan serpihan muncung botol kaca di kawasan kereta pengadu, dipercayai adalah serpihan bom petrol yang dibaling suspek ke dalam pekarangan rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati ia merupakan perbuatan khianat gara-gara cemburu dan sepasukan polis berjaya menangkap suspek pada pukul 10 malam di Taman Bachang Utama.

“Kejadian dipercayai berpunca gara-gara suspek cemburu dengan lelaki tersebut tinggal bersama-sama bekas kekasihnya berusia 46 tahun yang bekerja sebagai ejen pelancong.

“Difahamkan suspek yang bekerja sebagai tukang cat pernah menjalinkan hubungan cinta dengan wanita tersebut selama enam bulan, manakala pasangan itu baru bercinta selama tiga bulan,” katanya.

Afzanizar berkata, dalam tangkapan tersebut, pihaknya turut merampas satu pemetik api dan sebuah kereta jenis Proton Waja beserta serangkai kunci.

Katanya, suspek kini direman sehingga 20 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI