fbpx

19 dikompaun leka bermain judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian individu yang ditahan ketika serbuan di sebuah inap desa di Taman Suria, Batu Pahat, Johor semalam.

BATU PAHAT – Seramai 19 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikompaun RM1,000 setiap seorang dalam serbuan di sebuah inap desa di Taman Suria, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek iaitu lapan wanita dan 11 lelaki warga tempatan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Katanya, suspek yang berusia 20 hingga 42 tahun melakukan perbuatan itu untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama rakan-rakan yang datang daripada Batu Pahat, Kluang dan Seremban, Negeri Sembilan.

“Bertindak daripada maklumat orang awam, pada 11.45 malam Ahad lalu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Batu Pahat membuat serbuan di sebuah inap desa.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut pihak polis telah mendapati seramai 19 orang berada di dalam rumah berkenaan, seramai 11 orang daripadanya leka bermain judi daun terup.

“Hasil siasatan awal mendapati rumah tersebut disewa oleh salah seorang daripada mereka selama tiga hari hingga semalam.

“Mereka juga telah dikompaun kerana melanggar SOP PKP di bawah Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas 104 keping daun terup dan wang tunai sebanyak RM2,612 dipercayai wang perjudian dan semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI