SHAH ALAM – Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan dalam operasi tangkapan anjing liar sehingga membawa kematian haiwan itu di Taman Teluk Gedung Indah, Klang baru-baru ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, sebaliknya kejadian yang berlaku adalah disebabkan perebutan daripada individu yang mengaku pemilik anjing sehingga mengganggu operasi tersebut.
Beliau berkata, kaedah tangkapan yang digunakan pihaknya adalah mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Kalau ikut penjelasan pegawai dan anggota terlibat, kita mengikut SOP yang ditetapkan. Tangkapan menggunakan loop atau jaring seperti tangkap rama-rama, itulah kaedah yang kita gunakan.
“Pada malam itu, kita menangkap 12 ekor anjing dengan kerjasama penduduk. Cuma yang berlaku (kematian) anjing ke-13. Ini berlaku akibat daripada perebutan.
“Kalau penduduk atau yang mengaku pemilik itu tidak mengganggu operasi, anjing itu dijangka tidak akan mati,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Menurut Abd. Hamid, individu yang mendakwa pemilik anjing itu sepatutnya menuntut haiwan yang ditangkap mengikut prosedur yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, individu terbabit kemudiannya mendakwa anjing tersebut bukan miliknya.
“Kalau ikut kenyataan awal dia kata (anjing) milik dia, tapi akhir sekali dia kata bukan pula. Jadi kita tak tahu. Kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan selesai.
“Setakat ini, dua pegawai MBDK telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Beliau berkata, persepsi masyarakat berhubung kaedah tangkapan anjing adalah berbeza, namun pihaknya perlu mengambil kira aspek keselamatan anggota dan penduduk setempat.
“Kalau kita tangkap anjing macam tangkap rama-rama mungkin berbeza sebab anjing binatang yang agresif, kita tak boleh tangkap dengan berlemah lembut kerana ia boleh membahayakan (kakitangan) dan boleh terlepas.
“Jadi dalam SOP, loop memang ada sekatan. Tetapi bila ditarik seterusnya hendak dipotong tali, kita pegang malah ugutan mencederakan diri daripada wanita yang mengaku pemilik anjing,” ujarnya.
Tambahnya, notis pemakluman mengenai operasi tangkapan anjing liar diberikan lebih awal menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Operasi itu dilakukan 11 anggota MBDK bersama 50 penduduk.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan berkaitan anjing liar yang berkeliaran dan menjejaskan keselamatan penduduk.
“Kita menerima 50 aduan anjing liar setiap bulan. Masalah ini agak kritikal di kawasan berkenaan dan tindakan dibuat berdasarkan aduan yang diterima,” katanya.
Abd. Hamid berkata, pihaknya berdepan kekangan dalam menangani isu anjing liar berikutan kekurangan anggota selain kesukaran mendapatkan syarikat swasta bagi menjalankan operasi tangkapan.
“Kita cuba mencari syarikat swasta untuk menjalankan kerja tangkapan tetapi tiada yang bersedia. Jadi usaha ini dibuat sendiri oleh kakitangan majlis.
“Kakitangan kita kurang daripada 20 orang sedangkan aduan banyak dan kawasan Klang sangat luas. Anjing pula banyak berada di kawasan industri serta perumahan dan biasanya keluar pada waktu malam, menyebabkan sukar ditangkap dengan segera,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan operasi penangkapan anjing liar oleh MBDK bertukar kecoh apabila seorang individu didakwa bertindak agresif dengan mengugut menggunakan pisau serta menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan. – KOSMO! ONLINE
















