fbpx

Pengendali Kellie’s Castle lakukan proses sanitasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS melakukan proses sanitasi bagi memastikan Kellie's Castle bebas daripada wabak Covid-19.

BATU GAJAH – Penutupan sementara sektor pelancongan buat masa ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai pengusahanya mengeluh disebabkan terpaksa menggantung perkhidmatan sehingga keadaan pulih.

Bagaimanapun, berlainan pula bagi pihak pengurusan Kellie’s Castle di sini apabila memanfaatkan penutupan sementara ini bagi melakukan kerja-kerja sanitasi kes seluruh kawasan persekitaran dan bangunan bersejarah tersebut.

Pengurus Besar Kellie’s Castle, Zamari Muhyi berkata, dalam menghadapi pendemik Covid-19 ketika ini maka penggiat industri pelancongan perlu sentiasa memastikan kawasan mereka dalam keadaan bersih dan selamat.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak (PPPB) memberitahu, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana persediaan yang dilakukan ini adalah demi kebaikan pengusaha, kakitangan dan juga pengunjung.

“Sekiranya PKP berakhir dan sektor pelancongan dibenarkan beroperasi kita sudah bersedia kerana premis telah dilakukan sanitasi secara berkala.

“Apa yang perlu dilakukan ialah untuk sentiasa memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepertimana yang ditetapkan atau boleh diperketatkan lagi demi kepentingan pengunjung,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Zamari turut berkongsi kesedihan dan memahami keadaan yang dialami oleh pengiat-pengiat pelancongan di negeri ini yang sangat terkesan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

Jelasnya, pandemik Covid-19 yang melanda negara hampir setahun menyebabkan ramai dalam kalangan pengusaha pelancongan yang sudah berputus asa hingga ada yang menutup perniagaan kerana menghadapi kesulitan.

“Oleh itu semua pihak perlu memainkan peranan bersama-sama membantu dan menyokong langkah-langkah kerajaan untuk memberhentikan penularan Covid-19.

“Kita mahu semua sektor di negara ini kembali beroperasi dengan selamat dan bebas dari ancaman wabak,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI