fbpx

Sepasang suami isteri antara tiga didakwa berhubung Op Selat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Harlifarhani, Muhammad Zul dan Mohd. Faizzan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melepaskan pendatang asing tanpa izin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) dan penggubahan wang haram di antara 2018 hingga 2020.

SHAH ALAM – Tiga termasuk sepasang suami isteri yang ditahan dalam Op Selat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melepaskan pendatang asing tanpa izin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) dan penggubahan wang haram di antara 2018 hingga 2020.

Muhammad Zul Anishaffizie Zakaria, 32, yang merupakan Pegawai Imigresen KP19 dan isterinya, Harlifarhani Abdul Halim,29, adalah peniaga butik pakaian serta Mohd. Faizzan Sani, 35 sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Gred KP29 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut lapan pertuduhan utama, Muhammad Zul menerima keseluruhan wang tunai RM310,800 tanpa balasan daripada tiga individu termasuk seorang wanita berusia 38 hingga 53 tahun melalui akaun simpanan bank milik isterinya dan seorang lagi wanita.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Zul yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Bangunan AMC KLIA itu juga didakwa lapan pertuduhan pilihan menerima suapan dengan jumlah sama dan cara memasukkan wang menggunakan kaedah sama bagi membantu melepaskan warga China dan Indonesia keluar daripada Malaysia.

Justeru, dia telah melanggar peruntukkan Seksyen 2 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk mengalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya mengikut 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Bapa kepada seorang anak itu turut didakwa enam pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (AMLATFPUAA) dengan jumlah keseluruhan RM278,700 yang diterima menerusi 86 transaksi pemindahan wang hasil aktiviti haram daripada dua individu yang dimasukkan dalam akaun milik seorang wanita berusia 51 tahun.

Harlifarhani pula didakwa dua pertuduhan AMLATFPUAA dengan menerima wang keseluruhan RM32,100 daripada wanita berusia 44 tahun ke dalam akaun miliknya.

Sehubungan itu, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tiak kurang lima ganda hasil aktiviti haram atau RM5juta mana lebih tinggi mengikut Seksyen 41 (1) (b) AMLATFPUAA yang boleh dihukum dibawah Seksyen 4 (1) akta sama, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank masing-masing di KLIA dan Bandar Baru Ampang bermula Februari 2018 hingga November 2020.

Sementara itu, Mohd. Faizzan yang bertugas di Pejabat Operasi Imigresen KLIA 2 didakwa tiga pertuduhan telah diberikan suapan keseluruhan RM1,000 daripada tiga pembantu Imigresen Gred KP19 berusia 30 hingga 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warganegara China dari sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu dilakukan di Aras 1 dan 2 Bahagian Kawalan dan Keselamatan Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) bermula November 2019 sehingga November tahun lalu.

Dia boleh dipenjara penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Azmir Wan Majid.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zul diikat jamin RM55,000 untuk kesemua pertuduhan dan isterinya pula diikat jamin RM10, 000 manakala Mohd. Faizzan dengan RM5,000 bersama seorang penjamin selain mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya.

Tarikh sebutan semula kes pada 8 Mac depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI