fbpx
AIDIT ALFIAN

Jangan bunuh apa yang ada – Aidit Alfian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keliru atau sembunyi? Ternyata apa pun alasannya, kepulangan semula Aidit Alfian memanaskan bara dunia muzik tempatan memang dinanti-nantikan. Malah buah tangan dengan judul Keliru dan Sembunyi itu sendiri menjadi tanda aras karya muzik pada tahun-tahun kemunculan lagu-lagu tersebut.

Terdengar janggal pada awalnya tentang melodi dan perjalanan karya tersebut tetapi pada satu sisi lain, penulisan komposer berusia 51 tahun itu kadangkala mendahului zaman.

Bukan dua buah lagu sahaja, banyak lagi rangkaian karya lain yang menjadi siulan, hits dan popular.

‘Kerja kahwin’ penulisan bersama Ad Samad dalam kebanyakan lagunya memberikan tanda tangan tersendiri. Namun kemudian Aidit seperti hilang seketika daripada radar. Mungkin aktif dengan penulisan belakang tabir tetapi jarang muncul untuk pendengaran khalayak.

Aidit baru-baru ini ketawa apabila ditanya akan ‘hiatus’nya dalam lapangan penulisan. Katanya sewaktu tempoh senggang daripada dunia hiburan dan penulisan, fokusnya banyak ditumpukan terhadap keluarga.

PENCAPAIAN Aidit Alfian menerusi penulisan lagu dapat dilihat menerusi lagu Keliru nyanyian Ajai dan Nurul yang dijulang sebagai Juara Lagu AJL17 pada 2003.

“Saya mencuba benda-benda baru tetapi agak tersekat. Muzik melalui peralihan. Perubahan pula membawa kepada kepelbagaian. Saya anggap ini pergerakan yang bagus tetapi sepertinya ada usaha pengasingan oleh sesetengah pihak. Saya harap dalam kepelbagaian, jangan bunuh apa yang telah ada,” katanya membuka bicara.

Terpanggil memerincikan kenyataan ‘bunuh’, begini jawab Aidit.

“Sesetengah orang berpendapat, apabila sebut tentang kemajuan (progres) mesti ke arah Barat. Itu bukan kemajuan, itu Barat. Dahulu kita nak jadi Barat sampai hilang Melayunya. Ini juga masalah yang dilanda oleh dunia. Dalam satu-satu pembikinan lagu, ramai yang menggunakan ‘sampel’.

“Sudah hilang peranan pemain gitar, pemain dram. Kalau begitu, bagus mana pun pemuzik Malaysia, orang tidak akan panggil kerana ramai yang gunakan mesin dan sampel dalam pembikinan lagu. Ini pandangan yang sakit. Bukan semua kita boleh pakai teknologi semata-mata. Rasanya, kalau muzik caklempong dibuat betul-betul, akan jadi sesuatu yang segar untuk budak-budak sekarang,” hujahnya.

“Yang tidak seronok apabila komputer menjadi instrumen bagi muzik. Saya harap ini hanyalah satu fasa. Seronoknya dahulu sebab kita ada ‘jamming’ dan sesi rekod dengan pemuzik. Berlama-lama dalam studio untuk hasilkan lagu.

Sekarang kalau hanya dengan komputer dan guna sampel, seperti tiada nyawa dan tidak hidup,” ujarnya tentang perubahan tersebut.

Bagi Aidit, untuk generasi lama inilah masanya untuk belajar menggunakan teknologi dan berada dalam dunia elektronik.

Begitu pun, untuk generasi baharu yang faham teknologi perlulah mengimbanginya dengan ilmu pengetahuan dan dasar ilmu itu sendiri.

AIDit (tengah) bersama Shah dan Zamani semasa menjadi pemuzik undangan sewaktu konsert Slam.

Muzik seperti fesyen

“Saya jumpa ramai pemuzik baharu, budak-budak baharu dalam dunia muzik. Mereka tahu tentang muzik ni dan cara kerja. Saya ada sesi dengan Omar K untuk penulisan bersama, begitu juga dengan John Jeeves. Saya suka sebab saya mahu belajar dan ini merupakan fasa yang menarik,” tambahnya mengenai kaedah baharu dalam penulisan komposer terkini.

Komposer kelahiran Kuala Lumpur itu juga menyebut nama-nama seperti Naim Daniel, Ippo Hafiz dan Mas Dewangga sebagai penulis-penulis baharu yang bagus dan harus diberi perhatian.

Aidit juga memaklumkan bahawa bakat seperti Raja Nazrin Shah dan Raja Nazmin Shah boleh pergi jauh untuk menjadi penyusun muzik yang bagus.

“Muzik sekarang ada bagus dan tidak bagusnya, seperti fesyen. Saya suka hip hop sekarang seperti yang disampaikan oleh Yonni Boi dan K-Clique, ini masa mereka. Pada masa sama, perlu ingat bahawa kita juga ada Man Kidal. Dia merupakan pemuzik paling gigih yang pernah saya temui. Bakat ini tidak akan terus ada dan berkembang kalau anak-anak muda sekarang menggunakan komputer sebagai instrument.

“Orang yang cenderung terhadap pemuzik sebenar sudah berkurangan,” ujarnya masih berpaksikan kepentingan pemuzik dalam pembikinan sesebuah lagu.

Lelaki yang pernah muncul dengan lagu dinobatkan juara pada Anugerah Juara Lagu ke-17 ini mengakui bahawa penulisannya turut melalui zaman perubahan.

“Penulisan harus jadi lain kerana meresap dengan elemen lain dan baharu. Namun elemen folk mesti ada, cuma berkembang. Perubahan perlu ada untuk sesebuah progres dan melalui penambahbaikan,” ujarnya.

Dalam butir percakapannya tentang penulisan, Aidit bertegas bahawa ada penulisan lagu sekarang menuju ke Barat dan menampakkan itu sebagai satu pembaharuan.

“Ada orang rasa, benda baharu kena berbunyi macam Barat. Banyak melodi dan ‘hook’ Barat yang diambil. Kalau orang Barat datang ke sini pun, mereka akan kata kita ikut stail mereka.

“Kalau terus-terusan begitu, apa akan jadi dengan ‘folk song’ kita? Apa akan jadi dengan seniman seperti M. Nasir atau Iwan Fals malah Bob Dylan pun, mereka yang mempunyai nilai-nilai estetika dalam seni mereka,” tanya Aidit

“Masalah orang kita ialah mereka tidak faham seni. Kalau belajar tentang perniagaan muzik, harus faham bahawa seni itu sendiri tidak sama dengan perniagaan seni. Kena tahu seimbangkan dan jangan rosakkan. Masyarakat ada yang faham tetapi banyak juga yang tak faham kerana akar dan asas tentang seni,” luahnya.

Aidit juga mengakui perubahan yang dilaluinya ialah dengan lebih memperkemaskan lagu tulisannya. Malah dia melakukan ‘kerja rumah’ untuk perlu lebih kenal seseorang penyanyi yang bakal diberikan lagu.

AIDIT (tengah) bersama Ikmal Amry (kanan) semasa berbincang bagi penghasilan single berjudul Tangisan Bahagia.

Terkini, dia dan pasukan penyelaras kerja-kerjanya sendiri melakukan ‘pitching’ terhadap artis untuk diberikan lagu. Berbeza dahulu, artis yang datang untuk meminta hasil nukilannya.

Baru-baru ini, Aidit menghasilkan lagu kahwin untuk pelakon terkenal Ikmal Amry yang berjudul Tangisan Bahagiamu, yang liriknya ditulis oleh Nadiah Khan.

Aidit turut menghasilkan lagu-lagu runut bunyi untuk filem Gantung yang diarahkan oleh Nadiah Khan yang akan ditayangkan menjelang Aidilfiri menerusi YouTube.

Menjemput Raja Nazreen sebagai penyusun muzik, Aidit menganggap kerjasama tersebut menarik dan segar.

Selain itu, dia turut terlibat dalam pembikinan lagu-lagu runut bunyi seperti menerusi karya ICU lakonan Faizal Hussein yang akan menemui penonton menerusi platform Nurflix.

Aidit Alfian Records miliknya juga turut menandatangani kerjasama dengan sebuah kumpulan baru yang dinamakan The Suav dan akan menemui peminat seni muzik tidak lama lagi.

Semoga ‘pengembalian’ semula Aidit Alfian bidang penulisan lagu dan lirik dapat mengembalikan kemeriahan dalam industri di samping membuka mata anak-anak muda bahawa pembaharuan dalam seni muzik tidak hanya dari Barat.