fbpx
Hakikatnya, rakyat kita memang pernah menunjukkan solidariti luar biasa terhadap Rohingya. - GAMBAR HIASAN

Ironi, Selamat Malam Rohingya, dahulu simpati kini serabut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DAHULU kita rakyat Malaysia pernah menangis melihat bangsa Rohingya dibakar hidup-hidup, wanita diperkosa, kampung dimusnahkan dan ribuan manusia dihumban ke laut.

Dahulu juga ada lagu Selamat Malam Rohingnya yang mendoakan sejahtera buat bangsa malang itu. Hari ini pula, berlegar petisyen supaya mereka dikeluarkan atau lebih kejam lagi dihalau dari negara ini. Apa yang berubah? Adakah Rohingya berubah atau kita yang berubah?

Hakikatnya, kita memang pernah menunjukkan solidariti luar biasa terhadap Rohingya. Demonstrasi, kutipan derma, forum, malam puisi, konsert dan liputan meluas menjadikan nasib mereka antara isu kemanusiaan paling dekat dengan rakyat Malaysia. Rohingya dilihat sebagai mangsa kezaliman.

Namun, simpati mempunyai had apabila sesuatu krisis yang pada awalnya dianggap sementara menjadi isu yang berlarutan selama berdekad. Mereka datang atas tiket pelarian, kita terima atas dasar simpati dan kemanusiaan namun kini, bangsa itu dilihat sebagai ancaman.

Isu penempatan haram Rohingya di Hulu Langat contohnya, itu bom jangka yang sudah lama sepatutnya disedari Kerajaan Malaysia. Situasi itu tidak pelik, perhatikan sahaja jumlah ratusan ribu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia, separuh adalah etnik Rohingnya.

Bayangkan betapa selesanya mereka hidup sebagai pelarian di bumi Malaysia. Yang jadi pengemis dan gelandangan masih ada, namun ada juga Rohingnya sudah hidup selesa seperti orang kita.

Apabila keadaan tidak terkawal, rakyat resah. Khalayak mula membuat petisyen menggesa Rohingya dikeluarkan dari Malaysia. Kita bimbang soal keselamatan, peluang pekerjaan, kebajikan kesihatan kita dinikmati sama rata walhal mereka pelarian.

Persoalan lebih besar, adakah kita marah kepada Rohingya kerana mereka Rohingya? atau kita sebenarnya marah kerana kerajaan tidak mempunyai penyelesaian jelas selepas bertahun-tahun?

Bagaimana sebuah bangunan ‘milik’ pelarian boleh berdiri bertahun-tahun tanpa tindakan tegas? Persoalannya bukan hanya tentang penghuni bangunan itu.

Rohingya itu pelarian, sifat mereka mahu berlindung, kita terima mereka, namun mereka manusia, mereka membiak, mereka perlukan tempat tinggal, makanan dan segala keperluan hidup seperti orang biasa.

Persoalannya adalah penguatkuasaan, pemilik tanah, kelemahan sistem dan kelompongan dasar yang membenarkan keadaan itu berlaku.

Ironinya juga, dahulu ramai bertanya, ‘mengapa dunia membisu ketika Rohingya dizalimi? Hari ini, timbul isu, mengapa Malaysia masih perlu menanggung Rohingya?

Memikirkan isu Rohingya memang kusut, namun pihak yang sewajarnya harus lebih serabut dan bertindak adalah kerajaan. Jangan sampai simpati rakyat bertukar jadi ‘benci’ dan kebencian pula menenggelamkan kewarasan.

Jangan sampai kita pula yang bakar rumah Rohingnya kerana akhirnya yang kalah bukan Rohingya atau Malaysia. Yang kalah nanti adalah nilai kemanusiaan walhal suatu ketika dahulu itulah yang kita banggakan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN