fbpx

15 Februari keputusan Najib gugur Sri Ram audit 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan diputuskan pada 15 Februari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak pada pendengaran permohonan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib selaku responden berhujah bahawa pemohon iaitu Najib gagal menunjukkan bukti bahawa Sri Ram terlibat dalam kes siasatannya.

“Seperti timbalan pendakwa raya lain Sri Ram hanya menjalankan tugasnya berdasarkan kertas siasatan,” kata Ahmad Akram.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah agar peguam terkemuka itu tidak lagi terlibat dalam pasukan pendakwaan dan perbicaraan diteruskan dengan diketuai oleh timbalan pendakwa raya yang lain.

“Pelantikan Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan mewujudkan konflik kepentingan dan situasi berat sebelah kerana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu telah membuat andaian dan menentukan anak guamnya bersalah sebelum didakwa di mahkamah,” Ujar Muhammad Shafee.

Hujah Muhammad Shafee selain itu surat lantikan yang dikeluarkan kepada Sri Ram menimbulkan keraguan kerana Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah yang disandarkan untuk melantik beliau sebenarnya diguna pakai untuk lantikan pendakwa raya secara tetap, bukan secara `Ad Hoc’.

Pada 12 Jun tahun lepas, Najib, 68, mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram, dengan disokong oleh dua afidavit yang difailkan oleh Najib dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dalam permohonannya, Najib memohon diisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan antara pelantikan Sri Ram sebagai TPR di bawah Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah dan juga menjadi Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ia bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI