fbpx

48 peniaga diberi notis naikkan harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KPDNHEP Johor mengeluarkan 43 notis kepada peniaga selepas didapati menaikkan harga barangan sesuka hati.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah mengeluarkan 48 notis terhadap peniaga yang disyaki menaikkan harga jualan barangan keperluan harian di negeri ini sejak 1 Januari hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, notis berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dibuat sekiranya terdapat elemen pencatutan.

Jelasnya, dalam tempoh sama, KPDNHEP Johor telah memeriksa 936 premis meliputi 817 peruncit, 97 pemborong dan 22 pengilang.

“Pemeriksaan itu dijalankan ekoran terdapat aduan pengguna berhubung kenaikan harga jualan beberapa jenis barangan keperluan harian di baru-baru ini.

“Selain memantau barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum, pemeriksaan ini turut memberi tumpuan kepada barangan keperluan asas lain seperti beras, roti, susu tepung, ayam segar, telur ayam, bawang, sayur, topeng muka dan ‘hand sanitizer’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini wujud dakwaan pengguna yang mengatakan segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan antaranya seperti minyak masak dan lain-lain.

Menurut Fat Full lagi, pihaknya menasihati golongan peniaga khususnya di negeri ini agar mematuhi undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan dan tidak bertindak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati terdapat peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga.

“Dalam masa sama, pengguna boleh menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga ke talian 03-8000 8000, 1800 886 800, 03-8882 6245 atau ke talian aduan WhatsApp KPDNHEP iaitu 019-279 4317,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI