fbpx

Pengusaha bas Kelantan rayu moratorium tanpa syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Persatuan Pengusaha Bas Kelantan (PBSK) merayu agar kerajaan meneruskan moratorium tanpa syarat kepada semua pemain industri berkenaan yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Presidennya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, persatuan itu berharap kerajaan dapat melanjutkan tempoh moratorium sehingga berakhirnya pandemik Covid-19.

Menurutnya, permohonan moratorium itu juga perlu diperluaskan kepada syarikat-syarikat kredit dan tidak hanya terhad kepada institusi-institusi perbankan.

“Faedah akibat penjadualan semula pinjaman daripada bank dan syarikat kredit harus turut dikecualikan.

“Pelaksanaan ini perlu dipantau secara terus oleh Bank Negara Malaysia atau agensi-agensi kerajaan yang difikirkan sesuai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Che Ibrahim memberitahu, Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas di bawah Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan diharap dapat dilaksanakan agar ia selaras dengan 21 inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri menerusi Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lalu.

“Selain daripada bas persiaran dan teksi, ia juga perlu melibatkan bas ekspres supaya semua pinjaman daripada syarikat sewa beli dan pajakan dapat distruktur semula.

“Hal ini bagi membolehkan pengusaha bas menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah,” ujarnya.

Che Ibrahim turut berharap agar bantuan ‘one-off’ berjumlah RM500 menerusi Pakej Bantuan Permai turut diberikan kepada pemandu bas ekspres.

Katanya, pemandu bas ekspres turut terkesan dengan serangan pandemik itu.

“Ada sebilangan besar terpaksa bercuti tanpa gaji atau diberhentikan ketika ini,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI