fbpx
A. Asmadi (dua dari kiri) meninjau penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Op Payung di Pasar Kampung Tawas, Ipoh hari ini. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

Ops Payung di 10 lokasi tumpuan ramai di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Polis Ipoh memperluaskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini dengan menempatkan anggotanya di 10 lokasi tumpuan ramai dalam Ops Payung bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penugasan bermula pukul 7 pagi hingga 2 petang itu diadakan di Kampung Tawas, Pasar Awam Buntong, Pasar Awam Kampung Rapat, Pasar Awam Kinta dan Pasar Awam Tanjung Rambutan.

Katanya, lima lokasi lain ialah pusat membeli belah di Ipoh Parade, Aeon Kinta City, Aeon Station 18, Aeon Klebang dan Mydin di Meru di mana penugasan anggota bermula pukul 10 pagi.

“Pendekatan yang diambil menerusi Ops Payung ini adalah seperti rondaan di mana kita memberi mesej kepada orang awam bahawa polis ada di kawasan sekitar.

“Kita akan menasihati mereka (mengenai pematuhan SOP) dan sekiranya perlu barulah kita mengeluarkan tindakan kompaun. Bagaimanapun, kompaun itu adalah tindakan terakhir yang akan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuala Kangsar di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, bagi memastikan PKP terus dipatuhi oleh warga Ipoh, lima SJR diadakan dengan tiga daripadanya melibatkan sempadan negeri iaitu Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Plaza Tol Jelapang arah selatan dan Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara.

Katanya, dua lagi SJR adalah di kawasan bandar iaitu di Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Bercham.

“Matlamat SJR ini adalah untuk memantau pergerakan orang ramai dan memastikan mereka yang masuk ke pusat bandar adalah yang benar-benar ada keperluan untuk berurusan terutama bagi mereka yang bekerja.

“Apa yang paling penting kita mahu pastikan semua warga Ipoh mematuhi SOP yang ditetapkan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk sama-sama mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, seramai 188 orang pegawai dan anggota terlibat dalam penugasan bagi setiap sesi di mana turut dibantu 12 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 anggota Rela selain agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).-K!ONLINE